Perpaduan amat berharga buat negara, tidak boleh dijual beli - Agong

Bernama
Disember 10, 2016 23:42 MYT
AGONG: perpaduan adalah satu perkara yang amat berharga kepada negara dan tidak boleh dijual beli. - Gambar Bernama
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah bahawa perpaduan adalah satu perkara yang amat berharga kepada negara dan tidak boleh dijual beli.
Dalam hal ini, baginda berharap dan berdoa agar semua pihak sedar akan kepentingan untuk memelihara kesatuan dan perpaduan sesama kita.
"Jika yang retak menjadi belah dan genting menjadi putus, segalanya yang terbina selama 60 tahun ini, akan hancur binasa dan tidak ada ertinya lagi," titah Tuanku Abdul Halim pada majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahannya di Istana Negara di sini, malam ini.
Dalam titahnya, Tuanku Abdul Halim turut berkongsi pengalamannya berada di dua era pemerintahan iaitu ketika Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein dan sekarang anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tuanku Abdul Halim berkata dalam pengamatan baginda, terdapat beberapa kesamaan yang jelas antara kedua-dua mereka.
"Antaranya, Allahyarham Tun Razak adalah seorang yang lemah lembut, bersopan santun, berdisiplin, tidak banyak bicara, namun sangat gigih bekerja untuk membangunkan negara yang ketika itu masih bertatih dan menapak untuk menuju kemajuan.
"Apatah lagi pada masa itu, untung nasib orang-orang Melayu dan bumiputera masih berada dalam keadaan tidak teratur dan terumbang-ambing. Justeru menuntut kepada kepimpinan Allahyarham Tun Razak yang cekap dan berwibawa," titah baginda.
Seri Paduka bertitah berkat ikhtiar dan perencanaan yang begitu bersifat jangka panjang oleh Tun Razak, maka tertubuhlah pelbagai agensi serta institusi bumiputera seperti Mara, Felcra, UDA, RISDA, Pernas dan Bank Bumiputera serta yang paling berjaya hingga dikagumi oleh dunia luar adalah Felda.
"Alhamdulillah, tampaknya penerajuan Felda kekal diteruskan oleh anakandanya, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib," titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut berkongsi mengenai krisis antara kaum di zaman Tun Razak yang dinyalakan apinya oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, sehingga membawa kepada kemuncaknya Tragedi Hitam 13 Mei 1969.
Namun, titah baginda, krisis itu telah berjaya ditangani dengan baik dan lancar sehinggalah negara keseluruhannya kembali berada dalam keadaan selamat dan aman.
Tuanku Abdul Halim bertitah, Dasar Ekonomi Baru yang digagaskan Tun Razak yang bertujuan meningkatkan sosio ekonomi Melayu Bumiputera dan mengimbangi jurang antara kaum dan telah menjangkau lebih 30 tahun secara keseluruhannya telah mencapai objektifnya.
Menurut baginda, kini dasar yang bermakna tersebut berkesinambungan wawasan demi wawasan, sehingga ke era pentadbiran Najib hari ini.
Di akhir titah, baginda melahirkan rasa terima kasih, tahniah dan syabas kepada kerajaan yang dipimpin Najib atas segala sokongan dokongan yang dirafakkan kepada baginda selaku Ketua Negara semasa penggal pemerintahan ini.
"Beta dan Raja Permaisuri berdoa kehadrat Allah agar kerajaan dan rakyat jelata akan kekal dilimpahi nikmat keamanan, makmur, dan sentosa dalam ikatan yang padu untuk selama-lamanya demi Malaysia tercinta," titah baginda.
Lebih 500 tetamu hadir ke majlis itu, antaranya termasuk menteri-menteri Kabinet, pegawai tinggi kerajaan dan perwakilan asing.
Tuanku Abdul Halim tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 pada 12 Dis ini.
Seri Paduka mencatat sejarah negara dengan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2011 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 bagi menggantikan Tuanku Abdul Halim.
Mesyuarat Ke-243 (Khas) Majlis Raja-Raja memilih Sultan Muhammad V sebagai Ketua Negara berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Najib Tun Razak #Istana Negara #Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah #Tuanku Hajah Haminah
;