Perompak putus pergelangan tangan dilibas parang
Adie Sufian Zulkefli
Februari 4, 2016 22:43 MYT
Februari 4, 2016 22:43 MYT
Seorang perompak putus pergelangan tangan kiri ketika bergelut dengan anak pemilik kedai serbaneka di Kilang Lama, dekat sini malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Abdullah Arshad, dalam kejadian pada jam 7.45 malam itu, kedua-dua suspek bersenjatakan parang panjang dan pisau meluru masuk ke dalam kedai dengan memakai topi keledar dan menutup muka.
Suspek yang memegang parang panjang kemudian bertindak meluru ke arah ibu pekedai berusia 50-an yang berada di kaunter lalu mencekak rambut sambil mengugut supaya menyerahkan wang.
Sementara itu, seorang lagi suspek mengacukan pisau ke arah anak pemilik kedai tersebut.
Berang dengan tindakan kedua-dua suspek, anak pekedai berusia 20-an itu terus meluru ke arah suspek yang mengacukan pisau dan berlaku pergelutan di antara mereka.
Ketika pergelutan, dia sempat mengambil parang di dalam kedai lalu bertindak melibasnya dan terkena tangan kiri suspek, kata Abdullah.
Akibat daripada itu, pergelangan tangan kiri suspek putus.
Kedua-dua suspek yang panik bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal tanpa sempat mengambil tangan yang putus itu.
Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap beberapa jam kemudian ketika cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran.
Menurut Abdulah, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Kesiksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan sebatan.
#kilang lama
#perompak
#putus pergelangan tangan
#rompak kedai serbaneka
#Superitendan Abdullah Arshad