Perompak larikan mesin ATM berisi RM160,000
Bernama
September 6, 2013 07:44 MYT
September 6, 2013 07:44 MYT
Sekumpulan lima lelaki bertopeng melarikan mesin juruwang automatik (ATM) yang dipercayai berisi RM160,000 di sebuah stesen minyak di Kempas di sini pada 4 pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, ACP Azizan Anan berkata para penjenayah menggunakan trak penunda bagi menarik mesin tersebut.
"Suspek didapati memecahkan cermin pintu hadapan premis stesen minyak itu sebelum menyambung kabel pada mesin itu dan menariknya dengan alat penarik kabel yang terdapat pada trak penunda tersebut.
"Mesin ATM itu kemudiannya dimuatkan di atas kenderaan pacuan empat roda sebelum dibawa lari," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu seorang lelaki yang tidak menyangka kejadian itu dan singgah untuk membeli rokok telah disamun oleh kumpulan terbabit.
"Mangsa yang berusia 34 tahun itu terkejut apabila dihampiri sekumpulan lelaki bertopeng yang menggertak dan turut menyamun telefon bimbit dan wangnya," kata Azizan.
Dia sempat melihat perompak memunggah mesin ATM itu ke atas kenderaan pacuan empat roda tersebut sebelum mereka melarikan diri, katanya.
Beliau berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan kumpulan yang sama terbabit merompak mesin ATM di Tampoi baru-baru ini.