Perolehan projek mineral: SPRM sahkan bekas CEO Sabah Mineral Management dirakam percakapan
Sinar Harian
November 20, 2024 18:03 MYT
November 20, 2024 18:03 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, Jontih Enggihon bagi membantu siasatan.
Ia susulan siasatan SPRM berkaitan rasuah perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Subbiah mengesahkan bekas CEO terbabit sudah dipanggil untuk dirakam percakapannya bagi membantu siasatan.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan Jontih disoal siasat selama hampir tujuh jam berhubung laporan SPRM yang dibuat terhadapnya.
Difahamkan Jontih hadir ke ibu pejabat SPRM itu pada jam 2.30 petang Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM Sabah sudah memulakan siasatan membabitkan dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan ADUN.
SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Menurutnya, siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dengan ahli perniagaan terbabit.
Setakat ini, lima ADUN sudah dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan masih giat dijalankan.
Terdahulu pemberi maklumat skandal rasuah mendapat perhatian selepas mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM meminta campur tangan berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Pemberi maklumat mendakwa mempunyai lapan video menunjukkan ADUN berbincang mengenai wang.
Dia mendakwa bahawa ia adalah rasuah yang diberikan sebagai pertukaran untuk sokongan mereka bagi mendapatkan projek di negeri terbabit.
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Jontih Enggihon
#rasuah perolehan projek mineral
#Karunanithy Subbiah