Perolehan MyKad generasi baharu di fasa akhir - KDN

Hasimi Muhamad
November 20, 2024 12:15 MYT
Kad pengenalan (MyKad) generasi baharu yang bakal mengantikan kad pengenalan sedia ada yang dikeluarkan sejak 2012. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan perolehan kad pengenalan (MyKad) generasi baharu yang bakal mengantikan kad pengenalan sedia ada yang dikeluarkan sejak 2012.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kad pengenalan generasi baharu itu dilengkap dengan ciri keselamatan yang lebih canggih dan selari dengan perkembangan teknologi keselamatan masa kini.
"Penggantian kad pengenalan struktur baharu ini bertujuan untuk pastikan kad pengenalan yang bakal dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kepada rakyat Malaysia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, selamat dan dipertingkatkan selari perkembangan teknologi kini.
"Selain itu, ia bagi membendung sebarang insiden dan percubaan untuk memalsukan kad pengenalan yang menjadi dokumen pengenalan penting kepada negara," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berhubung status terkini berkaitan dengan kad pengenalan generasi baharu.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Manndzri berhubung usaha mengatasi masalah pemalsuan kad pengenalan, Shamsul berkata pihaknya percaya dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi, kad pengenalan generasi baharu mampu mengatasi masalah tersebut.
Antara ciri keselamatan itu ialah dia diperbuat daripada bahan 'polycarbonat' yang sudah diuji ketahanannya di makmal bertauliah.
"Ia juga dilengkapi dengan cip keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar, dengan piawai keselamatan yang dipertingkatkan.
"Langkah ini kita buat untuk membendung masalah pemalsuan kad pengenalan dan kebocoran data.
"Reka bentuk kad pengenalan baharu ini juga tampil lebih moden dengan elemen seperti torehan laser dan hologram yang lebih maju selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan dunia," ujar beliau lagi.
Mengenai kos penggantian pula, Shamsul berkata, KDN melalui JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan MyKad baharu itu memenuhi prinsip nilai faedah terbaik.
Usaha itu, katanya bagi memastikan kos pengeluaran tidak membebankan kerajaan, selain menjamin penggunaan sumber yang optimum sejaras dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
#MyKad generasi baharu #Dewan Rakyat #Pemalsuan kad pengenalan
;