Perolehan empat kapal LMS satu keperluan - Hishammuddin
Tan Su Lin
November 8, 2016 12:46 MYT
November 8, 2016 12:46 MYT
Perolehan empat buah Kapal Littoral Mission (LMS) ketika lawatan rasmi perdana menteri ke China baru-baru ini adalah satu keperluan.
Menteri pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memaklumkan perolehan itu bagi menggantikan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedia ada yang sudah berusia dan memerlukan kos operasi dan selenggaraan yang sangat tinggi.
Beliau turut menyifatkan perolehan kapal-kapal berkenaan sebagai sejarah penting buat negara.
"Armada TLDM terdiri daripada 15 kelas kapal dengan umur melangkau lebih 30 tahun dan keadaan itu menyebabkan kos operasi TLDM meningkat setiap tahun serta mengehadkan aspek pelaksanaan operasi.
"Pembelian ini juga amat penting bagi membolehkan TLDM melaksanakan tugas-tugas operasi secara berterusan dan efektif di perairan maritim, sekali gus menangani ancaman yang mampu menggugat kedaulatan negara," kata Hishammuddin di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Tenom (BN), Datuk Raime Unggi.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan pembelian sebanyak empat buah kapal LMS bagi kegunaan TLDM yang mana dua kapal pertama akan dibina di China dan dua buah lagi dibina di Malaysia secara usaha sama.