Perolehan aset tren baharu KTMB melalui kaedah pajakan - Loke
Astro Awani
Ogos 14, 2024 14:09 MYT
Ogos 14, 2024 14:09 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) membuat keputusan untuk melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dengan China.
Menterinya, Anthony Loke berkata strategi tersebut dibuat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, dengan fasa 1 bermula dari 2024 hingga 2027, dan menyasarkan penambahan 62 set tren penumpang baharu.
Katanya, penambahan set tren tersebut dianggarkan melibatkan kos RM10.7 bilion yang akan ditampung secara ansuran selama tempoh pajakan 30 tahun.
"Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan pihak Kerajaan China dalam tempoh masa terdekat.
"Buat masa ini, hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway and Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan PRC.
"CRRC juga merupakan peneraju industri keretapi yang terkemuka dalam pasaran global baik dari segi teknologi mahupun dari segi hasil perniagaan," katanya dalam sidang media bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Loke berkata rundingan pajakan adalah tertakluk kepada beberapa terma antaranya kerajaan Malaysia akan memiliki pegangan saham majoriti di dalam CRRC Rolling Stock Center Batu Gajah atau entiti yang dipersetujui antara kedua-dua kerajaan.
Selain itu, katanya syarikat pembekal hendaklah memenuhi syarat sekurang-kurangnya 40 peratus keperluan tempatan melibatan pemindahan teknologi dan penglibatan tenaga tempatan.
"Merujuk kepada keadaan semasa, jumlah bilangan tren dalam perkhidmatan yang reliable secara keseluruhan hanya 68 set tren penumpang.
"Tanpa melaksanakan penambahbaikan segera, mutu perkhidmatan rangkaian KTMB dibimbangi akan merosot.
"Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk menambah bilangan tren penumpang bagi setiap laluan perkhidmatan yang ditawarkan di samping memastikan setiap tren penumpang berada di dalam keadaan baik setiap masa," ujarnya lagi.
Kata Loke, penambahan sebanyak 62 set tren penumpang dalam Fasa 1 merangkumi 36 set three car set (3CS) Electric Multiple Unit (EMU); 12 set Six Car Set Electric Multiple Unit (EMU); serta 14 set Six Car Set (6CS) Diesel Multiple Unit (DMU).
Jelas beliau, kebaikan kaedah pajakan adalah kos pajakan merangkumi semua tahap penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih oleh entiti yang membekalkan tren untuk tempoh pajakan.
"Penyelenggaraan berjadual yang dilaksanakan secara berstruktur oleh syarikat-syarikat original equipment manufacturer (OEM) akan memastikan ketersediaan dan kebolehupayaan set tren pada tahap yang cemerlang.
"Ini secara langsung dapat memastikan operasi tren lebih efisien dan selamat demi kemudahan rakyat.
"Kaedah perolehan secara pajakan juga dapat dilakukan dengan lebih cepat berbanding perolehan tren secara biasa. Selain dapat meningkatkan mutu perkhidmatan keretapi, kadar penggunaan landasan juga dapat dipertingkatan daripada 30 peratus pada masa sekarang kepada 45 peratus menjelang 2027," kata Loke.