Peroleh pasport kekal: Saya hargai keputusan mahkamah - Zahid

Bernama
Mac 27, 2023 14:35 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) menyampaikan sumbangan Sekolah Tahfiz kepada wakil dari Sekolah Pondok dan Tahfiz Tuan Guru Haji Husin, Supriyadi Sage pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Ar-Rahman. - Foto BERNAMA
JASIN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghargai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pasport antarabangsa dan diplomatik diperoleh beliau secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.
"Ini membolehkan untuk saya melaksanakan tugas-tugas rasmi saya khususnya melibatkan lawatan rasmi dan juga menghadiri mesyuarat atau persidangan di peringkat antarabangsa.
"Dan tentunya ini memberikan makna yang cukup baik untuk saya dan saya menghargai keputusan mahkamah khususnya kepada ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan daripada peguam-peguam saya untuk Yang Arif memberi keputusan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulai, Serkam, di sini hari ini.
Hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berjaya memperoleh pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan pasport secara kekal selepas berpuas hati bahawa permohonan itu mempunyai merit.
-- BERNAMA
#pasport kekal #Ahmad Zahid Hamidi #pasport antarabangsa dan diplomatik #Mahkamah Rayuan