Perodua Viva rempuh gerai air soya, pelanggan dan peniaga parah

Salim Aziz
Oktober 12, 2019 20:49 MYT
Antara gambar yang tular di laman sosial menunjukkan keadaan gerai dan mangsa yang terlibat dalam insiden rempuhan. - Foto: Media sosial
Dua pelanggan dan seorang peniaga air soya di Jalan Jejawi Permatang, Arau, cedera parah apabila sebuah kereta Perodua Viva merempuh gerai itu, petang Sabtu.
Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa yang parah adalah peniaga, Ku Azizan Ku Chik, 54 tahun bersama dua pelanggannya, Muadzali Md Hussin, 64 dan Wirach Promichit Erom, 49 tahun.
Difahamkan ketika kejadian, peniaga terbabit sedang melayani dua mangsa bersama seorang lagi pelanggan di gerainya, sebelum kereta yang dipandu pekerja kilang berusia 52 tahun itu merempuh mereka.
Menurut anak peniaga terbabit, Ku Mohamad Farhan, 28 tahun, kereta Viva berwarna putih itu dilihat meluru ke arah gerai seolah-olah tidak menekan brek sewaktu merempuh gerai bapanya.
"Akibat rempuhan itu, bapa terpelanting ke dalam longkang sehingga patah kaki di paras betis manakala dua pelanggan mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki akibat terhantuk pada cermin kereta dan kesan daripada rempuhan berkenaan.
"Sejurus kejadian berlaku, pemandu terbabit keluar dari keretanya dan memaklumkan kepalanya pening sewaktu memandu, ditambah pula dia sedang membuat persiapan majlis perkahwinan anaknya pada Ahad,” katanya yang dihubungi media.
Kata Farhan, ini merupakan kejadian kali pertama yang berlaku ke atas bapanya, sejak memulakan perniagaan di tapak berkenaan hampir empat tahun.
"Gerai terbabit selalunya dijaga oleh adik lelaki, namun kebetulan dia bercuti dan bapa yang menjaga gerai terbabit buat sementara waktu," katanya.
Menurut Farhan, bapanya bersama dua pelanggan terbabit dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) oleh ambulans dan kini masih dirawat di Unit Kecemasan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, Perodua Viva itu datang dari arah Chuping, Padang Besar hendak ke Simpang Empat melalui jalan terbabit.
“Bagaimanapun dia telah cuai sehingga hilang kawalan dengan melanggar gerai air soya yang berada di tepi jalan,” kata Nanda melalui Whatsapp.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Arau #gerai air soya #kereta rempuh gerai soya #mangsa parah #mangsa rempuhan #Perlis #rempuh gerai
;