Perodua sumbang barangan, peralatan bernilai RM151,000 kepada dua hospital

Bernama
Disember 14, 2022 16:29 MYT
Antara barangan yang disumbangkan ialah peralatan diagnostik, pemulihan, penjagaan pesakit, mesin dialisis dan hamper untuk para pesakit serta pasukan barisan hadapan. - Foto: Perodua
KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyumbang barangan dan peralatan bernilai RM151,000 kepada dua hospital awam sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berterusan dalam meningkatkan lagi sistem penjagaan kesihatan awam negara.
Syarikat pengeluar kereta itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara barangan yang disumbangkan ialah peralatan diagnostik, pemulihan, penjagaan pesakit, mesin dialisis dan hamper untuk para pesakit serta pasukan barisan hadapan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan Hospital Selayang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata hasrat syarikat adalah untuk membantu institusi yang memberi manfaat terbesar kepada semua rakyat Malaysia, seperti hospital kerajaan yang tersedia untuk semua.
"Kami percaya dalam membuat sesuatu perubahan, kami perlu konsisten dalam usaha kami dan kami amat berbangga kerana dapat membantu mereka yang bekerja dan berkhidmat tanpa jemu untuk negara.
"Kami akan terus bekerjasama dengan badan-badan seumpama ini pada masa akan datang kerana ini adalah cara terbaik untuk kami membalas sokongan yang telah diberikan kepada kami selama ini," katanya.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd JH Rozman Jaafar kepada pihak pengurusan hospital.
Setakat ini, Perodua telah menyumbang peralatan perubatan dan kesihatan kepada hospital-hospital awam di seluruh negara.
Ini termasuk Hospital Umum Sarawak, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Hospital Shah Alam, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Ampang, Hospital Putrajaya dan beberapa klinik komuniti di daerah Hulu Selangor.
-- BERNAMA
#Perodua #sumbangan #Hospital Kuala Kubu Bharu #Hospital Selayang
;