Perodua MyVi yang lari ketika ditahan anggota MPV sudah dijumpai polis

Bernama
November 1, 2020 23:06 MYT
Ayob Khan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Nicholester Dadup. - Bernama
JOHOR BAHRU: Kereta Perodua Myvi yang dipercayai dinaiki dua lelaki dan melarikan diri daripada ditahan anggota unit peronda (MPV) sehingga menyebabkan seorang anggota polis maut dalam nahas di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja di sini pagi tadi, sudah dijumpai.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kereta berwarna ungu itu telah ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Baru Pandan, Johor Jaya pada 11.30 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi nahas.
"Kita (polis) kini dalam usaha mengesan suspek terlibat. Difahamkan kereta tersebut disewa atas sewa oleh seorang wanita, kita yakin dapat kenal pasti dalam masa terdekat suspek yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat yang maut dalam nahas itu di Balai Polis Bandar Dato' Onn hari ini.
Beliau berkata siasatan polis turut membawa kepada penemuan sejumlah peralatan dadah di dalam kenderaan tersebut dan oleh itu, polis mengesyaki suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah atau pengedaran dadah sehingga menyebabkan mereka melarikan diri daripada ditahan polis.
Katanya pada masa sama, polis percaya suspek masih berada di Johor.
"Dia nak lari ke mana, kita akan dapat kesan dalam masa terdekat. Kereta itu ketika ditemui hanya mempunyai kesan bergesel," katanya sambil menambah polis sedang menyemak butiran lanjut kenderaan itu termasuk jika mempunyai saman.
Mengenai cadangan menaikkan pangkat mendiang yang bertugas di Balai Polis Bandar Dato' Onn sejak awal tahun ini, Ayob Khan berkata perkara itu akan dibincang dengan pihak Bukit Aman memandangkan mangsa maut ketika dalam penugasan.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Balai Polis Bandar Dato' Onn ketika upacara penghormatan terakhir berlangsung yang diketuai Ayob Khan sebelum disusuli Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin dan para pegawai kanan lain.
Turut hadir kakak mendiang Elizcavelynicy Unci Unggat, 23, dan ahli keluarga lain.
Jasad Nicholester Dadup akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak untuk disemadikan.
Dalam insiden pada kira-kira 5 pagi itu, Nicholester Dadup maut selepas cedera parah pada bahagian kepala manakala rakan setugasnya yang juga pemandu MPV terbabit, Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail di sini.
Ketika kejadian, mereka mengejar kereta Perodua Myvi yang enggan berhenti setelah diarah berbuat demikian sebelum bergesel serta terbalik dan berlanggar dengan sebuah Perodua Aruz.
-- BERNAMA
#Myvi #Nahas #Jalan Kangkar Tebrau #Jalan Tun Teja #polis johor #Kampung Baru Pandan
;