Perodua lancar SUV-Aruz, guna sistem Brek Pra-Pelanggaran

Eka Roslee
Januari 3, 2019 14:50 MYT
PERODUA Aruz hadir dengan ciri baharu ASA 2.0, sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran berupaya mengesan pejalan kaki sehingga 50 km/j dan kelajuan operasi. - Fotopaultan.org
Kenderaan Sport Utiliti (SUV) tiga-barisan tujuh-tempat duduk, Perodua Aruz, kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad, Perodua Aruz merupakan model transformasi keempat yang menetapkan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan dan diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang oleh ASEAN NCAP.
Perodua Aruz menawarkan dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, dengan lima warna antaranya Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.
Turut menyumbang kepada penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP bagi model baharu ini adalah ciri-ciri seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara.
Tambahan lagi, varian Advance menampilkan sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang telah dipertingkatkan, dipanggil ASA 2.0.
Ciri-ciri baharu ASA 2.0, sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran berupaya mengesan pejalan kaki sehingga 50 km/j dan kelajuan operasi yang ditingkatkan sehingga 100 km/j untuk Amaran Pra-Pelanggaran dan 80 km/j untuk sistem Brek Pra-Pelanggaran.
Memaparkan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance), Perodua Aruz juga digayakan dengan rim aloi dwi-tona berukuran 17-inci, dengan ketinggian 220 mm dari aras tanah.
Semua varian dilengkapi radio skrin sesentuh dengan paparan kamera undur, penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori, corong penyaman udara untuk penumpang belakang dan alat pembaca kad tol terbina dalam.
Model tujuh tempat duduk itu kini dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara bermula hari ini.
#1 5 Advance #1 5 X #ASA 2 0 #ASEAN #perodua aruz #SUV #Zainal Abidin Ahmad
;