Perodua Kancil rempuh pagar Balai Polis Bukit Yong
Sinar Harian
Mac 19, 2022 06:15 MYT
Mac 19, 2022 06:15 MYT
KOTA BHARU: Anggota polis dari Balai Bukit Yong, Pasir Puteh di sini yang sedang bertugas dikejutkan dengan insiden sebuah kereta jenis Perodua Kancil melanggar pintu pagar balai berkenaan pada Jumaat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 11.09 malam itu menyebabkan pemandu Perodua Kancil terbabit yang berusia 66 tahun luka pada bahagian hidung.
"Sementara penumpang kereta berkenaan hanya mengalami sakit pinggang," katanya kepada pemberita pada program kayuhan basikal amal sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai terbabas semasa mengelak daripada melanggar sebuah bas ekspres yang sedang berhenti di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Polis Bukit Yong.
Beliau bagaimanapun berkata, siasatan lanjut berhubung punca sebenar kemalangan itu sedang dijalankan.
*Berita asal di Sinar Harian