Perodua akan bayar balik pelanggan Myvi yang terlepas pengecualian cukai
Bernama
Ogos 29, 2018 05:35 MYT
Ogos 29, 2018 05:35 MYT
Pengeluar kereta nasional, Perodua akan membayar balik 3,100 pelanggan Myvi yang terlepas peluang mendaftar kereta mereka sebelum 1 Sept disebabkan penangguhan sementara pengeluaran ekoran gangguan bekalan vendor.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin berkata kakitangan syarikat itu akan menghubungi para pelanggan yang telah menempah kereta Myvi yang sepatutnya didaftarkan sebelum 1 Sept untuk memanfaatkan harga tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Kami ingin menawarkan pelanggan bernilai kami rebat tunai selepas pendaftaran kenderaan mereka, sebagai pampasan terhadap kesulitan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Zahari berkata syarikat itu juga akan memaklumkan kepada pelanggan perkembangan terkini serahan Myvi kepada mereka.
GST berkadar sifar bermula 1 Jun yang membawa kepada pengecualian cukai selama tiga bulan telah meningkatkan permintaan terhadap kenderaan, dengan pembeli berebut-rebut untuk mendaftarkan kenderaan mereka sebelum 1 Sept apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula.
Pada 20 Ogos, Perodua mengumumkan pengeluaran Myvi tertangguh disebabkan gangguan bekalan vendor.
-- BERNAMA
#bekalan vendor
#cukai barang dan perkhidmatan
#Cukai Jualan dan Perkhidmatan
#GST
#kadar sifar
#Myvi
#pelanggan
#pengecualian cukai
#Perodua
#SST
#Zahari Husin