Perobohan Stadium Shah Alam capai kemajuan 45.81 peratus setakat 30 Okt

Bernama
November 18, 2024 15:40 MYT
Kakitangan Menteri Besar Selangor (Perbadanan) melakukan pemantauan semasa kerja-kerja perobohan dilakukan ketika tinjauan di Stadium Shah Alam, 2 Julai 2024. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam telah mencapai kemajuan 45.81 peratus setakat 30 Okt lepas, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Ringkasan AI
  • Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam telah mencapai kemajuan 45.81% setakat 30 Oktober, lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan.
  • Fasa pertama pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) dijangka selesai pada suku pertama 2027, termasuk stadium, terminal bersepadu, plaza tempat letak kenderaan, kawasan rekreasi, dan padang latihan.
  • Fasa kedua dan ketiga KSSA akan melibatkan pembangunan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan, sayap belia, dan hotel, dengan jadual siap antara 2027 hingga 2030.

Beliau berkata peratusan itu menunjukkan kemajuan peningkatan kerja tiga hari lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan sejak stadium itu mula dirobohkan pada Julai.
"Perobohan Stadium Shah Alam merupakan fasa pertama bagi pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) dan kita jangkakan ia selesai pada Jun tahun hadapan.
"Pembangunan fasa pertama KSSA yang merangkumi stadium, terminal bersepadu, plaza tempat letak kenderaan, kawasan rekreasi dan padang latihan pula dijangka selesai pada suku pertama 2027," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin menjawab pertanyaan Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) mengenai sasaran kerajaan negeri untuk kerja pembangunan KSSA dan bila ia dapat disiapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata bagi fasa kedua KSSA, pembangunan projek itu akan mengandungi bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia dan ia dijangka bermula pada pertengahan 2027 hingga akhir 2029.
Menurutnya, pembinaan hotel pula dirancang dimulakan pada 2028 hingga 2030 untuk fasa ketiga KSSA.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerja-kerja perobohan struktur Stadium Shah Alam disesuaikan dengan projek pembinaan Transit Aliran Ringgan 3 (LRT3).
"LRT3 (dijangka) beroperasi pada akhir 2025 dan kalau kita tidak melaksanakan perobohan hingga LRT3 beroperasi, kemungkinan kerja-kerja tersebut akan menjadi lebih sukar," katanya.
-- BERNAMA
#stadium shah alam #Kerja-kerja perobohan #KSSA #Amirudin Shari
;