Perniagaan Yong Tau Foo kembali 'rancak' hasil bantuan platform digital
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 12, 2021 09:49 MYT
Disember 12, 2021 09:49 MYT
BUTTERWORTH: Pandemik COVID-19 yang melanda negara tahun lalu memberi impak yang sangat besar kepada Huszaimi Abu Hassan, 47, yang mengusahakan perniagaan makanan Yong Tau Foo di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.
Perniagaan warisan keluarga itu hampir sahaja tidak dapat diteruskan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga mengalami kemerosotan kira-kira 80 peratus kerana kekurangan pelanggan.
Bagi meneruskan perniagaan waktu itu, pemilik Sarafi Laman Enterprise itu hanya bergantung pada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium yang diberikan kerajaan.
"Semasa berlakunya pandemik COVID-19, di mana kita tidak boleh merentas daerah, perniagaan semua bukan kata saya, keseluruhan peniaga-peniaga mengalami kemerosotan akibat daripada orang daripada luar kawasan tidak dapat hadir untuk menjamu selera di kedai kami dan juga di kedai-kedai lain.
"Lebih kurang 80 peratus dia punya kemerosotan itu, memang terkesan sangat kerana tiada orang yang dapat hadir untuk makan di kedai kerana tidak boleh keluar," katanya.
Kini perniagaan Huszaimi kembali rancak hasil pemasaran berterusan di platform digital yang sekaligus menarik ramai pelanggan ke premis perniagaannya.
Huszaimi berkata, menerusi platform digital, dia kini mula menerima kunjungan ramai pelanggan dari luar Pulau Pinang untuk menikmati Yong Tau Foo yang dianggap paling sedap di Butterworth.
"Alhamdulillah selepas rentas daerah dibenarkan, kami juga menggunakan laman sosial untuk kami kembangkan, ketengahkan barang yang kami jual, makanan yang kami jual kepada orang ramai.
"Alhamdulillah nampak hari ni kita tengok kesan daripada digital ataupun laman sosial yang kita tengahkan di medai sosial, orang dapat tahu, orang dapat hadir pada hari ini.
"Alhamdulillah selepas menggunakan platform digital untuk promosikan pembukaan perniagaan kami, Alhamdulillah orang ramai dari luar kawasan sini dapat hadir untuk menjamu selera," katanya.
Berikutan sambutan menggalakkan terutama selepas melihat kehadiran pengunjung dari luar Pulau Pinang, Huszaimi merancang membuka cawangan gerai Yong Tau Foo di lokasi yang akan dikenalpasti kelak.