Perniagaan Malaysia digesa utamakan pematuhan ESG untuk bersaing di pasaran AS
Bernama
November 13, 2024 05:30 MYT
November 13, 2024 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perniagaan Malaysia mesti menyesuaikan piawaian pematuhan kawal selia alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Amerika Syarikat (AS) untuk kekal berdaya saing di negara itu yang merupakan salah satu pasaran terbesar dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perdagangan Amerika Malaysia (AMCHAM) Datuk Siobhan Das berkata penyesuaian itu ditekankan melalui hubungan perdagangan yang kukuh antara Malaysia dan Amerika Syarikat, yang mengalami lebihan perdagangan sebanyak 19.8 peratus dan pertumbuhan eksport yang kukuh yang menonjolkan daya saing negara.
Semasa pembentangan beliau mengenai 'Apakah yang diperlukan untuk mengeksport ke AS dan mengambil bahagian dalam rantaian nilai global AS hari ini?', Siobhan berkata AS kekal sebagai destinasi eksport yang kritikal bagi barangan Malaysia daripada produk petroleum kepada jentera dan minyak sawit.
"Bagaimanapun, jangkaan pengguna yang berubah dan peraturan baharu seperti mandat SB 253 California (Diluluskan pada Oktober 2024) mengenai pendedahan dalam pelepasan, memerlukan pengeksport Malaysia untuk menyelaraskan semula operasi mereka.
"Jika pelanggan anda mahukan keperluan ESG, adalah menjadi tanggungjawab pembekal untuk sama ada memenuhi bidang pematuhan tersebut atau menarik diri daripada pasaran," katanya di webinar Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bertajuk 'Kekal Relevan Dengan ESG atau Keluar Dari Pasaran AS' yang diadakan pada Rabu.
Beliau menambah perniagaan Malaysia mesti memahami keperluan pelanggan mereka untuk berjaya dalam rantaian bekalan AS.
Sambil menekankan kepentingan usaha wajar, Siobhan berkata isu-isu pematuhan seperti kebimbangan mengenai buruh paksa dan langkah penguatkuasaan Perlindungan Sempadan Kastam AS boleh menjejaskan perdagangan dengan teruk.
"Reputasi Malaysia sebagai rakan dagangan yang dipercayai bergantung kepada pematuhan terhadap keperluan-keperluan ini," katanya sambil menggesa syarikat untuk telus dan kebolehkesanan dalam rantaian bekalan mereka.
Peraturan baharu AS, termasuk Perjanjian Hijau Baharu dan penguatkuasaan yang lebih ketat di bawah akta seperti Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dan Akta Lacey memberikan cabaran tambahan, katanya.
Siobhan berkata pengeksport Malaysia juga mesti mengambil kira tarif dan sekatan yang muncul disebabkan perubahan dinamik geopolitik terutamanya dengan potensi implikasi pentadbiran baharu AS.
"Walaupun menghadapi cabaran ini, peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global kekal penting.
"Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) memberikan pengeksport Malaysia kelebihan daya saing dan membolehkan mereka meneroka pasaran AS," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata perniagaan mesti mengelakkan risiko yang berkaitan dengan amalan pemindahan penghantaran dan mematuhi peraturan negara asal.
"Pematuhan ini bukan sekadar memenuhi keperluan kawal selia. Ia juga mengenai melindungi reputasi Malaysia dan memastikan kejayaan perdagangan yang berterusan dengan AS," tambah Das.
Terdahulu, Pengarah Kanan MATRADE Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman dalam ucapan perasmian berkata ESG bukan lagi topik sampingan tetapi telah menjadi bahagian penting dalam operasi korporat merentas industri.
"Perniagaan yang gagal mengguna pakai amalan ESG akan berisiko kehilangan bahagian pasaran dan berdepan dengan tindak balas kawal selia, yang akhirnya boleh menyebabkan mereka keluar dari pasaran AS," katanya.
Beliau berkata pematuhan terhadap amalan mampan seperti menggunakan bahan mesra alam dan meminimumkan sisa boleh meningkatkan kebolehpasaran pengeksport Malaysia dengan ketara.
-- BERNAMA