Perniagaan dan pengguna perlu lebih banyak bantuan - Persatuan
Bernama
Mac 25, 2020 04:38 MYT
Mac 25, 2020 04:38 MYT
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap kerajaan akan mempertimbangkan kadar faedah terakru ke atas perumahan dan pembayaran balik pinjaman berikutan iklim ekonomi yang sukar.
Presiden FOMCA, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata walaupun kerajaan telah menangguhkan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan, yang akan membantu isi rumah dalam mengurangkan perbelanjaan, ianya tidak mencukupi.
"Khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah, kerajaan perlu menangani isu kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan isi rumah.
"FOMCA mencadangkan kajian semula ke atas elaun kos sara hidup bagi kumpulan di Bawah 40 (B40) supaya pembayaran kepada mereka dapat ditambah dalam masa yang mencabar ini.
"Ini bertujuan untuk memastikan keluarga yang terjejas, terutamanya mereka yang kehilangan pendapatan, mempunyai wang yang mencukupi bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terus ada," katanya kepada Bernama.
Marimuthu berkata kerajaan juga harus mengambil langkah yang kukuh bagi memastikan supaya syarikat kecil tidak memfailkan kebangkrapan kerana ini akan mempunyai kesan yang amat buruk kepada pekerja di syarikat tersebut.
Ini dicadangkan, memandangkan 98.4 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (IKS), yang mana, mereka mengupah 67 peratus daripada tenaga kerja tempatan.
"Kerajaan perlu memastikan kelangsungan hidup dan kemampanan PKS dalam masa yang mencabar ini.
"FOMCA berharap satu pendekatan yang komprehensif akan diambil untuk memastikan semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, disokong serta diberi bantuan dalam mengharungi krisis COVID-19," tambahnya lagi.
Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong yang berkongsi sentimen yang serupa turut bersetuju bahawa penangguhan pembayaran balik pinjaman haruslah merangkumi kadar faedah.
"Kami menyokong langkah kerajaan, tetapi perkara seperti premium insurans juga harus diberi penangguhan.
"Selain bank, pinjaman institusi kewangan yang lain sewajarnya, mengambil langkah yang sama untuk menangguhkan pembayaran balik selama enam bulan, termasuk yang dilesenkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," kata Kang.
Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) Datuk Seri Garry Chua berkata langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan untuk meringankan aliran tunai PKS adalah sesuatu yang amat terpuji tetapi situasi semasa memerlukan lebih banyak pengorbanan daripada semua pihak bagi terus memastikan ekonomi bernafas.
Anggota persatuan itu yang kebanyakannya PKS akan berhadapan dengan cabaran yang sebenar untuk memastikan perniagaan mereka bergerak ke hadapan jika mereka terpaksa terus membayar gaji penuh kepada pekerja sedangkan produktiviti di tahap sifar.
"Semua pihak harus memainkan peranan mereka termasuk bank, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat utiliti dan sebagainya.
"Kerajaan tidak harus meletakkan beban sokongan kumpulan B40 dan M40 hanya kepada majikan semata-mata. Sesuatu perniagaan mungkin tidak dapat dikekalkan jika kita kehabisan wang tunai," katanya.
Untuk membantu majikan dengan aliran tunai mereka, kerajaan wajar mempertimbangkan penggunaan wang yang dikumpul melalui Dana Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) sebagai pemberian subsidi dengan bayaran gaji atau pun, mengecualikan caruman majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini.
Chua juga menggesa bank untuk mempertimbangkan pengurangan kadar faedah dalam masa yang sukar ini, sambil menambah bahawa syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd boleh memberi diskaun yang lebih banyak ke atas bil utiliti memandangkan mereka masih boleh mencipta keuntungan terutamanya jika keadaan menjadi bertambah baik.
BACA: COVID-19: Langkah penangguhan, penstrukturan semula pinjaman bernilai RM100 bilion - Muhyiddin
BNM pada Rabu mengumumkan penangguhan dalam pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk meringankan aliran tunai PKS serta individu yang terjejas akibat COVID-19, dengan bank memberikan moratorium automatik ke atas semua pinjaman, termasuk prinsipal dan faedah, kecuali kad kredit.
Langkah ini adalah untuk enam bulan dari 1 April hingga 30 Sept 2020, dan penangguhan ini layak jika pinjaman atau pembiayaan mereka tidak tertunggak melebihi 90 hari dan didenominasi dalam ringgit.
-- BERNAMA
#B40
#bank
#Bank Negara
#Bank Negara Malaysia
#COVID-19
#elaun
#EPF
#Fomca
#keluarga berpendapatan rendah
#koronavirus
#kos sara hidup
#KWSP
#Moratorium
#perbelanjaan
#pinjaman
#PKS
#tangguh bayaran