PERNAS sasar lebih banyak perniagaan francais tembusi pasaran antarabangsa

Bernama
Ogos 3, 2024 05:00 MYT
Hazimah berkata pihaknya menyusun pelbagai aktiviti dan program setiap tahun, bagi membantu para usahawan dan bakal usahawan yang berpotensi bagi mencapai sasaran berkenaan. - Gambar fail/FB PERNAS
KUANTAN: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menyasarkan untuk melahirkan lebih banyak perniagaan francais tempatan yang menembusi pasaran antarabangsa pada masa akan datang.
Justeru, Pengerusi PERNAS, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, pihaknya menyusun pelbagai aktiviti dan program setiap tahun, bagi membantu para usahawan dan bakal usahawan yang berpotensi bagi mencapai sasaran berkenaan.
"Sebagai contoh Sate Zul Recipe Sdn Bhd, syarikat itu sudah tembus ke luar negara iaitu di Brunei dan Singapura, ia selari dengan inspirasi PERNAS iaitu kita bukan sahaja mahu melahirkan jaguh kampung bahkan menembusi pasaran luar negara.
"Syarikat francais ini tidak mengira besar atau kecil, jika hanya gerai atau kiosk pun tidak mengapa. Apabila mereka bersedia dari segi produk, kita akan bantu daripada pelbagai sudut seperti pemasaran, penjenamaan dan pembungkusan, untuk dibawa ke luar negara," katanya.
Beliau berkata demkian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Bizfrancais Pahang 2024 di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Hazimah berkata, setakat ini kira-kira 10 peratus daripada 1,295 perniagaan francais tempatan sudah berjaya berbuat demikian, antaranya syarikat Laundry Bar dan Marry Brown.
"Kita telah bekerjasama dengan pihak SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menjayakan program ini, dan kita jangka ada 10 buah lagi syarikat francais yang dikenal pasti mampu menembusi peringkat antarbangsa tahun ini," katanya.
Sementara itu, Amizar berkata, pihaknya amat mengalu-alukan segala usaha yang dilakukan PERNAS untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi tiga negeri di pantai timur termasuk Pahang, melalui perniagaan francais.
"Saya difahamkan PERNAS telah membiayai sebanyak RM46 juta kepada usahawan, dan 212 syarikat telah dibangunkan dengan pembiayaan dan latihan PERNAS sejak tahun 2010.
"Pada tahun ini KUSKOP melalui PERNAS menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM4 juta, bagi memperkukuhkan industri francais di Pantai Timur dengan penglibatan 300 orang perserta," katanya.
Amizar berkata, bagi Pahang, sebanyak 93 permohonan pembiayaan diterima bagi kesemua skim pembiayaan dengan jumlah kelulusan ialah sebanyak RM18 juta sejak tahun 2010 sehingga kini.
Program BizFrancais Pahang 2024 merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah itu pada tahun ini, selepas Sarawak dan Pulau Pinang. - BERNAMA
#skim pembiayaan #Pernas #Matrade #pasaran antarabangsa
;