Pernah mengadu bimbang tanah mendap namun tiada tindakan - Peniaga
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 26, 2022 14:36 MYT
Januari 26, 2022 14:36 MYT
SERI KEMBANGAN: Peniaga-peniaga di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Equine Park di sini, mendakwa pernah mengadu kebimbangan mereka berhubung kejadian tanah mendap kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya sebelum ini.
Bagaimanapun, tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa selepas kejadian pertama berlaku pada 2017 dan tragedi semalam merupakan kali kedua dihadapi mereka.
Antara yang melalui pengalaman itu ialah pemilik bengkel kereta, Alter Jastan yang mengharapkan tindakan susulan akan segera diambil oleh pihak berkuasa.
Kalau adapun tindakan, kata Alter, pihak berkuasa hanya menutup kawasan mendapan itu dengan kanvas berwarna biru sekitar September lalu.
"Tapi semalam hujan lebat dan sekarang tengok, mendapan tanah dah menjadi lebih besar dan panjang," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada Rabu.
Jelasnya lagi, kejadian yang berlaku semalam turut menyebabkan kereta pelanggannya terhumban ke cerunam akibat mendapan tanah yang berlaku.
Kebimbangan Alter turut disokong oleh seorang pekerja di premis bersebelahan, Abby Nur Diana Ibrahim yang turut menyaksikan kejadian semalam.
Mengakui sangat cemas melihat mendapan tanah itu, Abby Nur berkata, kejadian kedua yang berlaku semalam lebih teruk berbanding tragedi pertama.
"Memang benar ini adalah kejadian kedua. Agak dalam juga mendapan dulu. Sekarang depan kedai pula," ujar Abby Nur yang kini sibuk mengemas barangan jualan selepas arahan mengosongkan premis dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Dalam kejadian semalam beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan Equine Park, Putra Permai mengalami kerosakan selepas berlaku mendapan tanah.
Menurut beberapa saksi, kejadian itu berlaku terlalu pantas sehingga beberapa kenderaan yang diletakan di situ gagal untuk diselamatkan