Pernah ketagih seks, remaja terlanjur kini tekad mahu berubah

Afiezy Azaman, Fareez Azman
Januari 22, 2019 08:48 MYT
Wartawan Astro AWANI, Fareez Azman (kiri) menemu bual salah seorang penghuni rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak di Selangor. - Foto Astro AWANI
GEJALA seks dalam kalangan remaja kini semakin meruncing, sebagaimana dilaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan.
Namun di sebalik gejala sosial itu, apakah sebenarnya punca utama sehinggakan nilai estetik dan harga diri segelintir remaja yang juga pelaku menjadi rapuh?
Adakah gara-gara terdedah dengan pergaulan bebas, pengaruh rakan serta dunia internet tanpa sempadan yang mengundang remaja ke arah gejala sosial?
Apakah sebenarnya punca gejala seks bebas dalam kalangan remaja?
Astro AWANI meninjau salah sebuah rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak di Selangor untuk menyelami titik hitam beberapa penghuninya.
Titik hitam
Hashimah (bukan nama sebenar), berusia 18 tahun, titik hitam dalam hidupnya bermula pada 2018 apabila dia disahkan mengandung selepas menjalin hubungan intim bersama teman lelaki yang dikenalinya sejak lima tahun lalu.
"Memang tidak dinafikan, pengaruh rakan juga pada awalnya. Bila dah seronok, tidak ingat apa sampailah perkara ini jadi. Saya tidak pernah terfikir macam ini, ramai yang ada impian nak belajar, kerja.
"Sedih sangat, setiap hari saya mengalami tekanan. Ibu saya cakap kena fikir ke depan dan bukan fikir tentang masa lampau. Setiap hari kena ingatkan diri supaya sabar sebab tengah mengandung," jelas remaja yang berasal dari Pahang ini.
Akibat dari itu, Hashimah tekad untuk tinggal di rumah kebajikan berkenaan untuk menutup aib keluarganya serta mengelak dari cemuhan masyarakat.
Pengaruh rakan
Selain Hashimah, Astro AWANI turut mendekati insan bernama Suhailah (bukan nama sebenar) yang berusia 17 tahun dan berasal dari Selangor, yang baharu sahaja melahirkan bayi minggu lalu.
Suhailah pada awalnya hanya mengikut ajakan kawan untuk berehat di rumahnya bersama teman lelaki yang dikatakan telah membawa Suhailah ke kancah gejala sosial itu.
"Kawan ajak saya bawa teman lelaki berehat di rumah dia, dia bawa teman lelaki dia juga. Jadi dari situ bermula. Mula-mula takut tapi bila dah lama, dah jadi biasa dan saya jadi ketagih sampailah masa saya jadi macam ini baru saya mula sedar kekhilafan saya," katanya.
Meskipun aktiviti tidak sihat bersama teman lelakinya itu berlanjutan sehingga empat tahun, namun ianya seolah-olah terus berubah selepas Suhailah didapati hamil luar nikah tahun lalu.
Tekad untuk berubah
Meskipun agak sukar untuk bangkit semula dan meneruskan hidup seperti remaja lain, Hashimah cekal menghadapi dugaan ini, di samping bertekad untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.
"Banyak (saya telah) belajar, tidak semestinya jadi macam ini hidup saya hancur... tidak. Kemungkinan besar hidup saya lagi berjaya dari orang lain dan saya akan pastikan hidup anak saya lebih baik daripada saya," katanya.
Bagi Suhailah pula, menyedari akan kesilapan lampau, dia kini mahu semua remaja di luar sana agar menjadikan kisahnya sebagai teladan, lebih-lebih lagi di era dunia tanpa sempadan dengan pelbagai aplikasi yang boleh diakses dan disalah guna oleh remaja ke arah gejala tidak sihat.
"Nasihat saya kepada semua remaja di luar sana, janganlah cuba benda macam ini... memang tidak baik untuk masa depan. Kehidupan saya seolah-olah gelap bila dapat tahu saya hamil. Tapi saya sedar ini kesilapan saya dan saya kena tabah," katanya lagi.
Pendidikan seks
Kisah Hashimah dan Suhailah ini membuka mata semua pihak terutamanya golongan remaja. Namun jika perkara seumpama ini terus berlarutan dalam kalangan remaja, apa pula jalan penyelesaiannya?
Adakah dengan mewujudkan subjek Pendidikan Seks oleh pihak kementerian berkaitan dapat mengurangkan gejala sosial ini? Atau perlu satu mekanisme baharu yang lebih menyeluruh dalam membendung gejala ini daripada terus berlarutan.
#Berubah #gejala sosial #hamil luar nikah #Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #Kementerian Pendidikan #Meruncing #pendidikan seks #remaja #rumah kebajikan #seks bebas #Terlanjur
;