Permusuhan golongan miskin dan kaya boleh jadi rusuhan berdarah jika dibiarkan - Tun M
Firdaus Azil
Ogos 5, 2022 16:25 MYT
Ogos 5, 2022 16:25 MYT
KUALA LUMPUR: Jurang pendapatan antara golongan miskin dan kaya perlu dikurangkan supaya permusuhan ganas antara dua kumpulan tersebut dapat dielakkan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya berkata, sejarah sudah membuktikan permusuhan antara dua golongan tersebut biasanya berakhir dengan rusuhan berdarah.
Contoh yang jelas, kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi ialah, perang saudara yang berlaku di Perancis dan Rusia, apabila kemenangan yang berpihak kepada golongan miskin, mengakibatkan mereka mengambil tindakan membunuh golongan kaya.
“Di United Kingdom (UK) puak miskin tidak mengganas. Dengan mengguna mogok atau strike, pekerja yang rata-rata miskin memaksa masyarakat memberi kuasa kepada puak pekerja. Dan wujudlah parti buruh.
“Masyarakat manusia perlu ambil iktibar dari peristiwa rusuhan antara miskin dan kaya. Jika masyarakat ingin elak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan,” katanya lagi.
Di Malaysia, kata Dr Mahathir, juga ada perbezaan yang ketara antara golongan kaya dan miskin.
Beliau berkata, situasi itu akan menjadi lebih merbahaya jika golongan miskin dan kaya dikaitkan dengan elemen perkauman.
“Demikian ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina. Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.
“Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan,” katanya lagi.
Dr Mahathir dalam masa sama menyedari ada pihak yang menganggap, cubaan untuk menyuarakan pendapat seperti itu seolah-olah satu tindakan membakar api perkauman dan ia sebaiknya terus dilupakan.
Namun, tegasnya lagi, jika isu tersebut tidak ditangani dengan bijak, ia akan menjadi lebih buruk, dan permusuhan yang tercetus akan menjadi lebih sukar untuk dikawal.
Dr Mahathir berpandangan, adalah lebih baik sekiranya jarak atau jurang perpisahan itu ditangani lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
“Sebab itu affirmative action atau tindakan mengurangkan jarak perpecahan, perlu dilakukan lebih awal. Ya. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikatakan gagal. Tetapi dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum.
“Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik,” kata Dr Mahathir lagi.