Permulaan baru buat Arshad, kini dibenarkan keluar hospital - Antashah
Wan Syamsul Amly
Januari 6, 2015 10:40 MYT
Januari 6, 2015 10:40 MYT
Bayi yang menghidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah yang menjalani pembedahan hati di Hospital Universiti Singapura (HUS) Oktober tahun lalu kini dibenarkan keluar hospital.
Bapanya, Antashah Mohd Nor bagaimanapun berkata, ia disifatkan bersyarat kerana mereka masih perlu tinggal di Singapura sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu lagi.
"Keadaan Arshad stabil, Alhamdulillah, cuma seminggu kebelakangan ini ada tanda buah pinggangnya menghadapi sedikit masalah dan ia menyebabkan tekanan darahnya tinggi.
"Hatinya setakat ini baik, perutnya nampak membesar tetapi dari bacaannya sebelum ini, hatinya berfungsi dan menunjukkan reaksi positif.
"Dari keputusan ultrasound pada minggu lepas, cecair di dalam perut Arshad menunjukkan ia membesar namun tidak membimbangkan. Pihak pakar sudah memantau dan menetapkan temujanji ultrasound seterusnya pada 15 Januari depan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Wajah terkini Arshad semasa pemeriksaan buah pinggang di HUS, Arshad kini sudah dibenarkan keluar hospital namun terpaksa tinggal di Singapura dalam masa dua minggu - Gambar Antashah
Arshad sebelum ini dilaporkan stabil walaupun denyutan jantung dan tekanan darahnya masih belum di peringkat memuaskan.
Bagaimanapun ia adalah tanda-tanda kesembuhan Arshad sendiri dan harapan kini terletak kepada semangat bayi itu untuk keluar dari tahap 'kritikal'.
Jelas Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, mereka diminta tinggal di Singapura untuk keselamatan seandainya sebarang kemungkinan terjadi kepada Arshad.
"Jika terjadi apa-apa, senang dan dekat dengan HUS. Berkemungkinan kami tinggal di Johor Bahru atau mana-mana hotel murah di Singapura.
"Pasukan perubatan juga akan membincangkan pelan ideal untuk Arshad," jelasnya.
Arshad kini sudah dibenarkan keluar hospital namun terpaksa tinggal di Singapura dalam masa dua minggu - Gambar Antashah
Katanya lagi, dana yang ada kini dilihat cukup untuk menjelaskan semua bil rawatan selain baki S$15,000 lagi yang perlu dibayar.
"Bagaimanapun semuanya tidak termasuk rawatan susulan selepas ini.
"Alhamdulilah, kami bersyukur pihak NUH dengan persetujuan pakar dalam pelbagai bidang memberikan hadiah hujung tahun buat Arshad. Iaitu pengecualian dalam bil dalam satu jumlah selepas merujuk komplikasi kes Arshad terutamanya daripada pihak pakar bedah," ujarnya.
Sejak Julai tahun lepas, Astro AWANI menyiarkan kisah Arshad yang memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk pembedahan pemindahan hati.
Kos itu tidak termasuk rawatan susulan dan ubat-ubatan yang terpaksa ditanggung selepas pembedahan.
Atas nasihat doktor kata Antashah, masa yang paling sesuai untuk Arshad dibenarkan pulang ke rumah adalah dua minggu selepas keluar hospital.
"Arshad perlu dikuarantin intensif daripada pelawat terutama daripada sesiapa yang demam, selesema dan penyakit berjangkit lain.
"Arshad mempunyai antibodi atau pertahanan dalam tubuh yang sangat rendah dan senang mendapat apa-apa jangkitan walaupun dengan sentuhan," jelasnya.
Selain https://www.facebook.com/Arshadimanshah, maklumat mengenai Arshad juga boleh diperoleh melalui #arshadimanshah, #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad.
Orang ramai juga boleh terus menghulurkan bantuan kepada Arshad dengan menggunakan akaun POSB Antashah di Singapura yang bernombor 406184617 atau melalui akaun Maybank Antashah yang bernombor 5628 4350 6388.