Permukiman Jemaah Menteri diadakan esok - Fahmi
Bernama
Januari 14, 2023 19:50 MYT
Januari 14, 2023 19:50 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sesi permukiman bersama barisan Jemaah Menteri, esok.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sesi permukiman yang berlangsung di lokasi dirahsiakan itu antara lain bagi membincangkan soal hala tuju dan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian.
"Pemukiman ini tepat pada masanya kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, menteri-menteri sudah mengenali kementerian mereka dan mempunyai kefahaman terhadap kementerian, dan ini penting untuk hala tuju kerajaan perpaduan itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar dilapor berkata satu program permukiman akan diadakan untuk Jemaah Menteri bagi menetapkan KPI setiap kementerian selain bertujuan mendapatkan input daripada menteri setelah lebih sebulan memikul tanggungjawab dan mengemukakan perkara yang dapat dilakukan atau diperbaiki.