Permuafakatan: GPS beri peluang Anwar pulihkan ekonomi negara - Abang Jo

Astro Awani
Disember 16, 2022 19:58 MYT
Jelas Abang Johari, GPS mempercayai Anwar untuk meneruskan agenda pembangunan dan membantu rakyat dengan mentransformasi ekonomi negara. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Gabungan Parti Sarawak GPS memberi kepercayaan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan agenda memacu ekonomi Malaysia.
Pengerusinya yang juga Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan kerajaan yang kukuh dan stabil penting bagi memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
Jelas Premier Sarawak itu GPS memberi penekanan utama kepada kestabilan kerajaan dan sebagai langkah merealisasikannya gabungan itu memilih untuk menandatangani perjanjian berkenaan
Kami mempercayai beliau (Anwar) untuk meneruskan agenda pembangunan dan pada masa yang sama membantu rakyat dengan mentransformasi ekonomi kita.
"Terutamanya tahun depan diunjurkan bahawa ekonomi kita tidak akan begitu baik dan ini memerlukan segenap usaha membantu Malaysia mendapatkan semula kedudukannya dalam reformasi ekonomi, ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Gabungan Kerajaan Perpaduan di sini, hari ini.
Abang Johari pada masa sama menyifatkan penglibatan GPS dalam kerajaan persekutuan sebagai satu penghormatan dan berharap perjanjian ini mampu disusuli dasar baharu yang boleh mengubah landskap ekonomi, politik dan sosial negara.
"Saya percaya sudah tentu perdana menteri kita dengan latar belakang dan pengalaman nya mampu meneruskan usaha yang dikehendaki rakyat malaysia yg berbilang kaum, agama dan budaya.
"Bagi kami dari Sarawak dan mungkin rakan kami dari Sabah sudah tentu berharap bahawa negara kita akan terus maju ke hadapan dan dihormati oleh negara yang lain.
Selain GPS, perjanjian bersama Pakatan Harapan (PH) itu turut melibatkan tiga lagi gabungan patyi politik utama iaitu Barisan Nasional (BN) Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).
Perjanjian dimeterai oleh Setiausaha Agung parti politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS), Datuk Masidi Manjun (GRS) dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr, dengan disaksikan semua pengerusi gabungan politik itu.
#permuafakatan #Abang Johari Tun Openg #Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan
;