Permohonan 'Tuhan Harun' dilepas dengan jaminan diputuskan Khamis ini
Astro Awani
Mac 17, 2014 18:14 MYT
Mac 17, 2014 18:14 MYT
Mahkamah Tinggi Kuantan di sini hari ini menetapkan Khamis untuk keputusan permohonan ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun' Harun Mat Saat, yang dituduh membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), supaya dilepaskan dengan jaminan.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu selepas peguam mewakili tertuduh, Hermes Media Putra Ibrahim memohon supaya anak guamnnya dilepaskan dengan jaminan atas alasan bagi membolehkannya mendapatkan rawatan di hospital akibat penyakit strok.
Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh bagaimanapun memohon tertuduh tidak dilepaskan dengan jaminan kerana yakin unit perubatan penjara mempunyai pegawai perubatan yang mampu merawat tertuduh dan jika dilepaskan ada kemungkinan tertuduh melarikan diri.
Harun, 48, dan dua pengikutnya Shamsinar Abd Halim, 37, dan Sumustapha Suradi, 40, dan seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh pegawai JAIP Ahmad Raffli Abd Malek di kediaman mangsa di Lorong IM2/29 Bandar Indera Mahkota di sini pada 10 Nov tahun lepas.
Harun dan isterinya, Azida Mohd Zol, 30, serta dua lagi pengikutnya Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, dan Jefferi Safar, 37, juga dituduh melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Harun yang berkerusi roda dilihat agak uzur hadir bersama-sama kesemua tertuduh ke mahkamah.
Hakim Ab Karim kemudiannya menetapkan 21 April ini sebagai tarikh perbicaraan kes terbabit.