Permohonan Sarawak tubuh syarikat penerbangan sendiri diketahui Jun depan

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 29, 2022 12:04 MYT
Abang Johari (gambar) berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan hasilnya akan diketahui dalam tempoh tiga bulan ini. - Foto Bernama
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Pusat dijangka mencapai kata sepakat berhubung permohonan negeri itu untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan hasilnya akan diketahui dalam tempoh tiga bulan ini.
“Saya telah melakukan perbincangan bersama Perdana Menteri dan tujuan kita adalah untuk mempunyai syarikat penerbangan butik Sarawak.
“Untuk itu kita masih menjalani proses perbincangan antara Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Khazanah untuk tujuan berkenaan yang akan memaju sektor pelancongan di negeri ini.
“Buat masa ini perkara berkenaan masih di bawah perbincangan dan kita berharap dalam tempoh tiga bulan ini kita akan mencapai keputusan yang tertentu, Perdana Menteri juga menerima baik cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Business Federation (SBF) dan National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM) di Kuching.
Terdahulu, dalam ucapannya Abang Jo memberitahu pelancong asing yang masuk ke Malaysia perlu mengisi dua borang yang berbeza untuk tujuan ke Kuala Lumpur dan Sarawak dan ianya mencetuskan kekeliruan kepada mereka.
“Tetapi Sarawak tidak boleh mengenepikan protokol berkaitan kerana ia adalah hak kita untuk melindungi negeri ini, jadi apa yang kita perlukan adalah penerbangan langsung tanpa perlu ke Kuala Lumpur dan terus ke Kuching.
“Maka pelancong asing boleh terus bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi sahaja dan ini sangat memudahkan bagi mereka dalam masa yang sama memberi manfaat kepada negeri dan Malaysia amnya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik tersendiri di bawah Hornbill Skyways.
Kemudahan itu katanya akan membantu meningkatkan jaringan perhubungan udara yang strategik seperti Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok dan Hong Kong.
#penerbangan Sarawak #Pelancongan Sarawak #penerbangan langsung Sarawak #Abang Johari Tun Openg
;