Permohonan rentas negeri meningkat 100 peratus - KP Selangor

Hasimi Muhamad
Mei 8, 2021 15:37 MYT
Arjunaidi ketika dihubungi Astro AWANI berkata beberapa alasan telah dikemukakan oleh pemohon untuk merentas negeri dari Selangor ke pelbagai lokasi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Polis Selangor mengesahkan berlaku peningkatan ketara sehingga 100 peratus terhadap permohonan rentas negeri sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beberapa alasan telah dikemukakan oleh pemohon untuk merentas negeri dari Selangor ke pelbagai lokasi.
Bagaimanapun, setakat ini kebenaran rentas negeri masih kekal kepada situasi yang ditetapkan termasuk pasangan jarak jauh (PJJ).
"Ada (pemohon) yang tak boleh tunjuk (bukti) kita tolak permohonan tersebut tetapi semua (permohonan) kebanyakan suami isteri jarak jauh.
"Tetapi sejak dua hari lepas ini banyak yang ambil anak dari sekolah, dan itu tak perlu melalui (kebenaran) kita (polis) pun," katanya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata polis Kontinjen Selangor akan mempertingkatkan pemantauan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.
Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat individu yang mengemukakan alasan palsu semata-mata untuk merentas negeri.
"Kalau palsu, dan kita ada bukti dia palsu, kita akan ambil tindakan undang-undang," ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pelbagai alasan diberikan orang ramai untuk merentas daerah dan negeri termasuk ingin pulang ke kampung halaman kerana telah meninggalkan kediaman begitu lama kerana bekerja.
Tinjauan akhbar itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat mendapati, orang ramai berpusu-pusu mendapatkan kebenaran rentas daerah dan negeri walaupun daerah tersebut berada di bawah PKP.
Sementara itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapati ada individu telah menyalahgunakan permohonan itu untuk merentas negeri.
Katanya, kebanyakan alasan yang turut diberikan ialah urusan kerja atau ahli keluarga sakit.
#Bukit Aman #PKP #rentas negeri #Polis Selangor #Aidilfitri #arjunaidi mohamed #pasangan jarak jauh
;