Permohonan reman: SPRM boleh guna Seksyen 117 KTJ
Sinar Harian
Julai 12, 2023 14:35 MYT
Julai 12, 2023 14:35 MYT
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu berpuas hati dengan penjelasan teliti Mahkamah Tinggi Johor Bahru berhubung pemakaian Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), bagi permohonan reman dibuat agensi berkenaan terhadap mana-mana kes yang berkaitan.
Pengarah Bahagian Perundangan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, berdasarkan penjelasan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katari, jelas menunjukkan SPRM tidak terikat dengan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 semata-mata dalam permohonan reman seperti mana yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi Temerloh.
"Keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru memberikan penjelasan yang penting berhubung pemakaian undang-undang berkenaan reman dan secara jelas SPRM sebenarnya tidak terikat dengan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 seperti keputusan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh.
"Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini sudah membincangkan tentang pemakaian KTJ yang mana daripada awal sebenarnya proses siasatan SPRM membenarkan kita menggunakan peruntukan Seksyen 29 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 117 KTJ itu," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pada Rabu.
Wan Shaharuddin berkata, pihaknya berharap mana-mana Majistret selepas ini akan melihat lebih mendalam dan menyeluruh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam membenarkan permohonan reman.
"Ramai Majistret kata mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, saya tidak kata ia salah.. tetapi apa kami mahukan adalah pemahaman tentang undang-undang itu diguna pakai bukan mengikut sahaja keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan.
"Kita berharap selepas ini kita dapat jalankan siasatan dengan lebih teliti dan lengkap dengan adanya keputusan hari ini dan diharap akan datang tiada lagi masalah," katanya.
Terdahulu, Abu Bakar membacakan keputusan terhadap permohonan semakan difailkan SPRM berhubung tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru yang tidak membenarkan permohonan reman terhadap dua suspek yang ditahan SPRM pada 15 Mei lalu.
SPRM memfailkan permohonan semakan itu pada 15 Jun lalu selepas Majistret yang mendengar permohonan reman di bawah Seksyen 117 KTJ itu memberikan alasan bahawa SPRM gagal mematuhi peruntukan Seksyen 49 SPRM 2009.
Dalam membuat keputusan reman berkenaan, Majistret menggunakan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh dan berpendapat terdapat kecacatan dalam siasatan dibuat SPRM.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, Majistret yang mendengar permohonan reman SPRM itu mindanya hanya tertumpu kepada Mahkamah Tinggi Temerloh, tanpa menimbangkan langsung nas duluan dalam kes Mahkamah Tinggi yang lain.
"Mahkamah berpendapat peruntukan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 juga perlu dibaca secara harfiah kerana tujuan Parlimen menggubal Akta SPRM 2009 adalah bagi menangani gejala rasuah, maka akta ini tidak boleh dibaca secara rigid sehingga menjejaskan atau menggagalkan proses siasatan SPRM.
"Mahkamah juga berpendapat, SPRM ketika menjalankan siasatan boleh memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ.
"SPRM diberikan kuasa yang luas bagi memilih peruntukan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 atau memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ," katanya. - Sinar Har