Permohonan program rehabilitasi kepada ahli GISB dibuka semula - MKN

Bernama
November 28, 2024 12:50 MYT
Kerajaan sebelum ini, menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISB yang masih bebas di negara ini, bertujuan untuk membimbing mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pembukaan semula pendaftaran bagi program rehabilitasi sukarela kepada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Ringkasan AI
  • Kerajaan membuka semula pendaftaran program rehabilitasi sukarela untuk ahli GISB Holdings sehingga tarikh yang akan diumumkan, dengan tujuan membimbing mereka dari segi akidah dan kelangsungan hidup.
  • Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan tertentu, pusat panggilan Jakim atau MKN, serta di Jabatan Agama Islam Negeri atau balai polis daerah.
  • Program ini bertujuan membantu ahli GISB kembali kepada ajaran Islam sebenar, susulan keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang mengesahkan ajaran GISB adalah sesat dan menyeleweng.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata keputusan itu diambil selepas kerajaan berpandangan bahawa ahli GISB memerlukan bimbingan salam aspek akidah dan kelangsungan hidup, selepas tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi tersebut.
"Justeru, bagi memberi peluang lebih ramai ahli menyertai program ini, kerajaan memutuskan untuk membuka dan meneruskan pendaftaran secara dalam talian sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
"Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat dan semua peserta akan dihubungi terlebih dahulu bagi tujuan koordinasi logistik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendaftaran program boleh dilakukan menerusi satu daripada kaedah-kaedah berikut iaitu pendaftaran secara dalam talian menerusi pautan https://form.jotform.com/242760538389468.
Mereka yang berminat boleh menghubungi pusat panggilan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di talian 03-88707294 / 7295 / 7296 atau MKN di talian 03-88880733 bagi mendapatkan bantuan pendaftaran secara dalam talian.
Selain itu, pendaftaran juga boleh dilakukan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Kerajaan sebelum ini, menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISB yang masih bebas di negara ini, bertujuan untuk membimbing mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar.
Timbalan Ketua Pengarah MKN Datuk Baharuddin Ahmad ketika itu berkata pendaftaran bagi program selama tiga bulan itu dibuka bermula 14 Okt hingga 14 Nov lepas serta mengalu-alukan penyertaan ahli organisasi berkenaan tanpa mengira usia dan jantina.
Pada 14 Nov lepas, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISB adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
-- BERNAMA
#GISH #program rehabilitasi sukarela #MKN #pemulihan akidah
;