Permohonan Program Penggajian dan Penempatan PATI dibuka 15 Februari

Rahimah Abdullah
Februari 5, 2016 10:49 MYT
Majikan telah memohon pada kerajaan supaya pekerja-pekerja ini diberi peluang untuk terus bekerja, kata Ahmad Zahid. - Foto Astro AWANI
Permohonan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Pengubahsuaian Bajet 2016, akan dibuka secara atas talian bermula 15 Febuari ini, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, fasa pertama permohonan itu akan dibuka dalam tempoh tiga bulan.
"Ia akan dilaksanakan di seluruh negara, namun Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan pihak berkuasa negeri masing-masing," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pelancaran Buku Dasar Keselamatan Dalam Negeri di sini hari ini.
Jelasnya, kira-kira dua juta pekerja asing tidak sah dijangka akan diambil bekerja melalui program berkenaan.
"Kita menjangkakan dua juta pekerja tidak berdokumen, sebab majikan telah memohon pada kerajaan supaya pekerja-pekerja ini diberi peluang untuk terus bekerja," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Tegasnya, pihak majikan boleh membuat permohonan secara atas talian tanpa perlu melalui ejen pekerja asing.
"Masalah sebelum ini timbul apabila ada majikan kata sudah bagi dokumen permohonan pada ejen. Namun, ejen terima wang tetapi tidak buat dan serah pada kita," jelas beliau.
Jelasnya, tiada penalti akan dikenakan ke atas majikan yang membuat permohonan berkenaan dalam tempoh tiga bulan tersebut.
"Kita akan tengok respons nanti selepas tempoh itu dan kemudian pengumuman lanjutan akan dilakukan oleh KDN," katanya.
Tegas Ahmad Zahid mana-mana majikan yang gagal mendaftarkan pekerja terlibat akan diambil tindakan selepas tempoh pendaftaran tamat.
"Penguatkuasaan daripada imigresen dan polis akan diteruskan seperti biasa. Mereka akan dihantar pulang sebelum menjalani hukuman di depoh tahanan dan juga penjara di Malaysia," ujar beliau.
#Ahmad Zahid Hamidi #atas talian #pati #Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin
;