Permohonan PM batalkan saman Tun Mahathir didengar 7 November
Bernama
Ogos 4, 2016 13:40 MYT
Ogos 4, 2016 13:40 MYT
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 November bagi mendengar permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan saman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi berhubung dakwaan salah laku membabitkan dana pembangunan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Abu Bakar Jais hari ini yang turut dihadiri peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir dan dua lagi.
Datuk Seri Najib, pada 19 April, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman ketiga- tiga mereka atas alasan tidak terdapat elemen perbuatan salah laku dan pecah amanah sebagai penjawat awam seperti didakwa oleh ketiga-tiga plaintif.
Dr Mahathir, 90, bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota Wanita UMNO Langkawi Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib atas dakwaan salah laku di pihak perdana menteri melibatkan dana pembangunan strategik 1MDB.
Mohd Hafarizam berkata mahkamah mengarahkan plaintif-plaintif memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan Najib untuk membatalkan saman itu pada 5 Sept manakala defendan diperintahkan memfailkan afidavit balasan pada 19 September.
Muhammad Rafique pula memaklumkan bahawa pihaknya mendapat arahan daripada ketiga-tiga anak guamnya untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim itu yang menolak permohonan Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina untuk memeriksa balas Datuk Seri Najib berhubung afidavit sokongannya dalam saman itu.
"Kami beranggapan bahawa permohonan (memeriksa balas Datuk Seri Najib) boleh dikemukakan semasa pendengaran untuk batalkan saman itu," katanya.
Pada 27 Julai lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina untuk memeriksa balas Datuk Seri Najib dengan alasan tidak perlu berbuat demikian kerana isu (mengenai pegawai awam) patut diputuskan selepas permohonan Datuk Seri Najib untuk membatalkan saman Dr Mahathir dan dua lagi, didengar.