Permohonan pengarah, penerbit Mentega Terbang rujuk persoalan undang-undang ditolak
Sinar Harian
Mac 6, 2025 16:00 MYT
Mac 6, 2025 16:00 MYT
Mohd Khairianwar (kiri), Meng Kheng. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes melukakan perasaan agama orang lain yang dihadapi pengarah dan penerbit filem ‘Mentega Terbang’ akan berlangsung seperti yang dijadualkan di Mahkamah Majistret di sini.
Ringkasan AI
- Perbicaraan kes pengarah dan penerbit filem 'Mentega Terbang' akan diteruskan di Mahkamah Majistret selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk merujuk isu perlembagaan.
- Seksyen 298 Kanun Keseksaan didapati sah dan berperlembagaan, dan kerajaan berhak mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara demi ketenteraman awam.
- Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan tayangan dan publisiti filem tersebut kerana didakwa memaparkan adegan yang bertentangan dengan fahaman serta kepercayaan agama.
Ia susulan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menolak permohonan Mohd Khairianwar Jailani, 33, dan Tan Meng Kheng, 38, untuk merujuk persoalan undang-undang sama ada seksyen yang dipertuduhkan adalah mengikut Perlembagaan atau sebaliknya.
Hakim K Muniandy berkata, mahkamah mendapati permohonan mereka selaku pemohon adalah tidak berasas dan tidak timbul persoalan mengenai isu perlembagaan sehingga perlu merujuk perkara itu di mahkamah ini.
"Seksyen 298 Kanun Keseksaan didapati sah dan berperlembagaan mengikut Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan. Ekoran itu, permohonan mereka ditolak, jadi kes ini dikembalikan ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan," katanya.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim itu berkata, tiada seorang pun boleh dibiarkan menghina agama orang lain.
Katanya, kerajaan berhak mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara demi ketenteraman awam atau moral.
Oleh itu katanya, kewujudan sekatan terbabit merupakan ‘mens rea’ atau niat untuk melakukan kesalahan, yang merupakan prasyarat bagi liabiliti jenayah.
Dalam kes ini, pendakwaan selaku responden dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, sementara peguam N Surendran hadir bagi pihak kedua-dua pemohon.
Sementara itu, selepas prosiding, Surendran berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi ini.
Pada 17 Januari 2024, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain.
Ia didakwa dilakukan melalui filem itu dengan cara melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari, 26 Februari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan PU (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Filem yang ditayangkan menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.
Susulan itu, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem mereka sebagai tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun pada 6 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan pengarah dan penerbit filem itu, berhubung larangan tayangan dan publisiti filem berkenaan
Mereka memaklumkan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan tersebut.
Dalam pada itu, mereka juga mengemukakan dua persoalan undang-undang bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.
Mereka juga mempersoalkan sama ada frasa 'melukakan perasaan agama seseorang' mempunyai unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan.
Pada 14 Jun 2024, Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem berkenaan untuk merujuk persoalan perlembagaan itu ke Mahkamah Tinggi. -- Sinar Harian