Permohonan penapisan filem dalam talian diperluas - Zahid Hamidi

Bernama
Mei 27, 2014 16:46 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -Foto BERNAMA
Permohonan penapisan filem secara dalam talian oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan dilaksana secara menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan peningkatan hampir 50 peratus filem tempatan dan import dalam pasaran negara ini sejak 2010.
Jika secara manual, tempoh permohonan penapisan sesebuah filem untuk tayangan di pawagam mengambil masa lima hari manakala bagi cakera padat video digital pula ialah 10 hari, katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari LPF di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata kementerian juga akan meneliti semula kadar bayaran penapisan filem yang tidak berubah sejak lebih 30 tahun lalu.
Kadar baharu ini akan terpakai untuk 10 hingga 20 tahun akan datang, katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihati pengamal media terutama media baharu agar menulis berita berdasarkan fakta dan bukan spekulasi semata-mata.
"Persepsi bukan etika kewartawanan. Media konvensional atau tradisional jarang menimbulkan masalah tetapi media baharu (sebab) ada kalangan pengarang berita yang mempunyai agenda sendiri," katanya.
Beliau mengulas pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru rakyat Malaysia termasuk orang awam, wartawan dan ahli politik, agar bekerjasama bagi mengelak kenyataan bersifat mengapi-apikan serta bertindak meredakan ketegangan yang berlaku.
#Ahmad Zahid Hamidi #filem #LPF
;