Permohonan pekerja asing tiga subsektor dibuka 10 Okt - Sivakumar
Fareez Azman
Oktober 2, 2023 17:56 MYT
Oktober 2, 2023 17:56 MYT
PUTRAJAYA: Permohonan pekerja asing baharu dan sedia ada bagi subsektor tukang gunting rambut, pekerja tekstil dan tukang emas akan dibuka mulai 10 Oktober depan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, ia melibatkan 7,500 kuota disediakan sebelum ini bagi memenuhi tiga subsektor dan majikan perlu berdaftar dengan Persatuan Perdagangan India.
"Tempoh permohonan bagi pekerja asing baharu, senarai permohonan boleh dibuat oleh majikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) bermula 10 Oktober 2023.
"Permohonan ini dibuka sehingga kuota ditetapkan kerajaan telah dipenuhi di tiga sub sektor ini. Tiada lanjutan permohonan dibenarkan selepas kuota dipenuhi, jadi semua majikan kena bersiap sedia dan buat cepat-cepat dan pastikan buat permohonan awal," katanya.
Bagi pekerja sedia ada jelasnya, majikan juga perlu membuat permohonan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bermula pada tarikh yang sama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada Isnin.
Mengulas lanjut ujar Sivakumar, setiap majikan bagi sub sektor tukang gunting rambut diwajibkan mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
"Pengusaha (tukang gunting rambut) diwajibkan mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf kerajaan.
"Ini untuk kita pastikan mereka menjalankan perniagaan ini ada sijil dan kita nak pastikan bahawa syarat ini lebih ramai ambil kursus bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tukang gunting rambut.
"Bagi mereka yang tidak memiliki SKM, apa yang mereka boleh buat adalah dengan mendaftar untuk buktikan mereka komited mengambil sijil tersebut," katanya lagi.
Dari sudut kriteria kelayakan pula tambah Sivakumar, keluasan lantai premis perniagaan akan menentukan jumlah pekerja asing yang boleh diambil.
"Kriteria kelayakan untuk sub sektor tukang emas dan pekerja tekstil syaratnya iaitu sekiranya keluasan lantai adalah sama, atau melebihi 1,000 meter persegi kelayakan adalah 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja tempatan. Contoh kalau pekerja 100, dia layak ambik 15 orang pekerja asing.
"Sekiranya lantai adalah sama atau melebihi 200 meter persegi tapi kurang daripada 999 meter persegi, kelayakannya adalah 3-4 orang pekerja asing sahaja. Sekiranya keluasan lantai tidak melebihi 199 meter persegi, kelayakannya adalah 2 orang pekerja," katanya lagi.