Permohonan maaf Najib tidak bawa apa-apa makna - Anthony

Astro Awani
Oktober 28, 2024 14:08 MYT
DAP menyifatkan permohonan maaf terbuka Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Malaysia berhubung kes salah laku dalam 1MDB tidak membawa apa-apa makna. - Gambar fail/Astro AWANI
SEPANG: DAP menyifatkan permohonan maaf terbuka Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Malaysia berhubung kes salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membawa apa-apa makna.

Ringkasan AI
  • Permohonan Maaf Najib: DAP menyatakan bahawa permohonan maaf terbuka Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1MDB tidak membawa makna kerana jenayah tetap jenayah dan Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah.
  • Pandangan DAP: Anthony Loke menegaskan bahawa hukuman tahanan di rumah untuk jenayah serius seperti yang dilakukan oleh Najib tidak wajar dan belum ada peruntukan undang-undang untuk tahanan rumah di Malaysia.
  • Reaksi Terhadap Permohonan Maaf: Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Najib, DAP tetap berpendirian bahawa permohonan maaf tersebut tidak mengubah fakta kesalahan yang telah dibuktikan di mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke memberitahu, mahkamah sebelum ini telah membuktikan dan menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bekas Perdana Menteri itu.
“Ini bukan soal terima permohonan maaf. Dengan permohonan maaf atau tidak, jenayah tetap jenayah. Dia (Najib) telah pun disabitkan, dan telah dibuktikan oleh mahkamah. Dia didapati bersalah dan ia kekal fakta.
“Jadi pada saya, permohonan maaf itu tidak bawa apa-apa makna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway pada Isnin.
Khamis lalu, Najib membuat permohonan maaf dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.
Bekas Perdana menteri itu kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menerima permohonan maaf Najib itu.
Ketika diminta mengulas pandangan dan pendirian DAP sekiranya Najib diberikan hukuman tahanan di rumah, Anthony berkata, peruntukan tersebut belum diwujudkan memandangkan ia masih belum digubal sehingga kini.
Sementara itu beliau berkata, jenayah serius tidak wajar diberikan hukuman sedemikian.
“Tiada peruntukan sedemikian di bawah undang-undang untuk sebarang tahanan rumah. Jadi, perbincangan mengenai undang-undang tahanan rumah yang sedang digubal, ia adalah mengenai reformasi penjara.
“Ini bukan soal Najib. Terdapat ambang tertentu bahawa jenayah tertentu tidak boleh dimasukkan ke dalam tahanan rumah. Dan sudah tentu, jenayah yang serius tidak dibenarkan di bawah tahanan rumah,” jelasnya lagi.
#Anthony Loke #Jho Low #Najib Razak #1MDB #permohonan maaf #tahanan di rumah
;