Permohonan maaf jadi ungkapan terakhir pesara guru maut ditikam anak

Shuhada Abdul Kadir
Julai 6, 2022 16:46 MYT
Inilah kediaman di mana Allahyarham Rozizah Md Dom maut selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.
TANGGA BATU: Pesara guru wanita yang maut selepas ditikam anak kandungnya dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, di sini, semalam sempat memohon maaf kepada ibu tirinya sehari sebelum kejadian.
Menceritakan hal itu, Mohamed Hisham Md Dom, 54, yang juga adik mangsa Rozizah, 63, berkata, malam sebelum kejadian dia bersama ibu dan beberapa ahli keluarga singgah ke rumah kakaknya itu dan makan malam bersama.
Katanya, suspek yang juga anak sulung mangsa juga berada di rumah berkenaan, namun, tidak menunjukkan sebarang tindak tanduk yang mencurigakan.
“Ketika saya datang, kakak saya sedang mengaji dan seperti kebiasaan dia menyambut kami dan mengajak kami makan di rumahnya. Kami pun berborak kosong bertanya khabar kerana arwah baru kematian suami sebulan lalu dan saya juga sudah lama tidak menziarahinya.
“Sebelum balik kami bersalaman dan dia cakap dengan mak ‘minta maaf Mak Yah, maaf zahir batin’. Kami terperanjat juga masa itu kenapa dia minta maaf begitu, dan kemudian arwah ada juga cakap ‘kita semua kena ingat, umur kita ini reput dan bila bila masa boleh pergi (meninggal dunia)’,” katanya ketika ditemui di kediaman mangsa di sini pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang semalam, mangsa disahkan maut di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.
Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm) dan mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.
Dalam pada itu, abang mangsa Abbas Md Dom, 66, mengakui sangat terkejut kejadian seumpama itu menimpa adiknya.
“Siapa yang tidak terkejut apabila kejadian seumpama ini menimpa keluarga sendiri dan pelakunya juga darah daging kami… arwah (pula) tidak pernah berkongsi cerita apa-apa sama ada dia ada masalah atau sebaliknya.
“Tetapi apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah kami mahu selesaikan urusan pengebumian dan selain serahkan perkara ini kepada bidang kuasa perundangan, saya harap insiden seumpama ini dijadikan teladan oleh masyarakat,” kata Abbas.
Tambah Abbas, jenazah kakaknya dijadual dikebumikan selepas selesai proses bedah siasat yang dijangka pada lewat petang ini di Tanah perkuburan Islam Tangga Batu, berhampiran pusara Allahyarham suaminya.
#tikam ibu kandung #Kampung Paya Luboh #Rozizah Md Dom #suspek positif syabu
;