Permohonan, kelulusan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dipermudah - KPDN

Pia Ernadya
Mei 29, 2024 17:11 MYT
Fuziah menyerahkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH kepada peniaga Suzana Hanum Ibrahim di Taman Desa Anggerik hari ini. - Foto Bernama
NILAI: Seramai 2,800 pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah di premis mereka sebelum ini akan mendapat Kad Diskaun Khas Menu Rahmah secara automatik manakala proses pendaftaran yang baharu akan dipercepatkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata untuk proses permohonan baharu pula, peniaga boleh terus layari ke portal menurahmah.kpdn.gov.my untuk dan pihaknya akan terus mengeluarkan kad diskaun tersebut.
Fuziah berkata proses pendaftaran itu sebelum ini menjadi lambat kerana terdapat syarat naziran yang agak kompleks untuk peniaga-peniaga mendaftar permohonan kad diskaun tersebut.
"Kami di KPDN akan bantu sebaik mungkin sebab sebelum ini, kita dapat laporan bahawa ramai pengusaha Menu Rahmah ada sedikit kesukaran untuk mengawal harga RM5 itu sebab kita pun faham bahawa dalam keadaan dimana barang import seperti bawang dan sebagainya itu telah naik, ia agak susah bagi mereka untuk kawal kos barang mentah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penyerahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah di Nilai pada Rabu.
Tambahnya, bantuan ini merupakan satu cara KPDN membantu pengusaha dalam usaha mereka untuk turut membantu rakyat dan dalam inisiatif ini sendiri, terdapat tujuh rakan strategik yang membolehkan peniaga untuk memakai kad diskaun ini untuk membeli barang-barang asas keperluan untuk mereka berniaga.
Antaranya ialah seperti Mydin, Econsave, NSK, AEON Big, Giant, Lotus's dan Segi Fresh dan mereka yang memiliki kad ini boleh mendapat sehingga 40 peratus potongan bagi pembelian barangan keperluan perniagaan.
"KPDN juga berhasrat kalau boleh satu premis itu satu Menu Rahmah. Kalau dia tawarkan 10 menu, kita mengalakkan mereka tawar satu Menu Rahmah," ujarnya lagi.
Dalam nada yang sama, beliau juga mengakui bahawa terdapat kegusaran untuk mengekalkan Menu Rahmah ini untuk jangka masa yang panjang namun begitu, sambutan yang hebat daripada peniaga-peniaga membuatkan inisiatif itu kekal sehingga kini.
"Pada mulanya saya ingat sewaktu kita melancarkan Menu Rahmah pada 31 Januari 2023, saya dengan arwah Salahuddin Ayub ketika itu, kita pun agak tak yakin berapa lama kita boleh bertahan ketika itu, kita kata dapat tiga bulan pun kira Alhamdulillah dapat enam bulan pun Alhamdulilah.
"Namun saya dapati, kita dapat bertahan agak lama sebenarnya kerana ramai di luar sana seperti peniaga-peniaga yang ingin berkongsi rezeki," katanya.
Namun begitu, tambah Fuziah, terdapat juga kekangan yang di luar kawalan pihaknya sendiri seperti contohnya, peperangan di negara lain yang sekali gus melibatkan kos barang mentah.
"Sebab itu kita berusaha ke arah kad diskaun ini dan kita sudah lancarkan pada Nov 2 tahun lepas cepat juga kita bertindak mengatasi keadaan faktor luaran yang saya katakan tadi," jelasnya.
#Fuziah Salleh #Menu Rahmah #Kad Diskaun Khas Menu Rahmah
;