Permohonan i-Sinar sebelum 25 Februari terima bayaran mulai hari ini - KWSP

Hasimi Muhamad
Mac 2, 2021 13:59 MYT
KWSP dalam satu kenyataan, meminta pemohon bersabar kerana proses meluluskan permohonan itu sedang berjalan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Permohonan kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat mulai, hari ini.
KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan ia membabitkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.
“KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan.
“Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas KWSP lagi, permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac ini kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 mereka.
Perkara itu katanya termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia.
“Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.
“Bermula 8 Mac 2021 juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online,” jelas KWSP lagi.
BACA: Permohonan i-Sinar diberi kelulusan bermula 8 Mac
BACA: Kerajaan, KWSP akan permudahkan proses kelulusan i-Sinar
Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu:
- Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.
- Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.
Namun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.
Pada 11 Februari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan KWSP dalam proses memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
#Muhyiddin Yassin #EPF #KWSP #i-sinar #pengeluaran i-Sinar #COVID-19
;