Permohonan fasa kedua, ketiga Bantuan Sara Hidup dibuka

Bernama
Februari 2, 2019 19:49 MYT
Proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah bermula semalam hingga 15 Mac depan itu dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH. -
Pemohon yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 diminta mendaftar dan mengemas kini maklumat isi rumah untuk bayaran fasa kedua dan ketiga yang dijadual pada Mei dan Ogos depan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah bermula semalam hingga 15 Mac depan itu dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH.
Katanya ia bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta tepat kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada.
Jelasnya, pemohon yang layak boleh membuat permohonan dengan cara mengisi borang permohonan yang boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil LHDN, Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN atau memuat turun borang di portal rasmi BSH di https://bsh.hasil.gov.my.
Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian di portal yang sama.
Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi mencari kaedah proaktif menyediakan kemudahan pendaftaran kepada isi rumah dari kawasan pedalaman serta golongan tertentu seperti yang terlantar, katanya.
Menurut kenyataan itu, baki bayaran BSH akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, termasuk pengenalan kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.
Untuk rekod, bayaran fasa pertama BSH yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion telah dilaksanakan pada 28 Jan lepas dan memanfaatkan empat juta isi rumah.
-- BERNAMA
#Bantuan Sara Hidup #BR1M #BSH #BSHR #Kementerian Kewangan #Putrajaya
;