Permohonan dipenjara, denda kerana hina mahkamah: "Saya akan lawan" - Isham Jalil

Hasimi Muhamad
Januari 6, 2024 11:26 MYT
Isham Jalil akan meneliti permohonan ex-parte yang dilaporkan dikemukakan oleh Peguam Negara kepadanya agar dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana didakwa menghina mahkamah. - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Isham Jalil akan meneliti permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dilaporkan dikemukakan oleh Peguam Negara kepadanya agar dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana didakwa menghina mahkamah.
"Pagi ini tiba-tiba keluar berita bahawa kerajaan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim melalui Peguam Negara ingin memenjara saya atas kesalahan kononnya, saya telah menghina mahkamah berkenaan kes Datuk Seri Najib (Razak).
"Mengikut laporan akhbar, mereka (Peguam Negara) telah menghantar permohonan ini secara ex-parte ke mahkamah," katanya dalam kemas kini di laman Facebook, pada Sabtu.
Pada masa sama, Isham turut mendakwa, tindakan yang dikenakan ke atasnya itu mungkin kerana Kerajaan Perpaduan terdesak untuk mengekalkan kuasa susulan kerajaan pimpinan Anwar ketika ini didakwa 'sedang goyah dan goyang'.
"Mungkin dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa mereka akan tangkap dan penjara lebih ramai orang demi kepentingan politik mereka.
"Kali ini giliran saya. Saya akan lawan," tulisnya lagi.
Isham mengulas laporan Utusan Online berhubung permohonan Peguam Negara yang difailkan pada 28 Disember lalu susulan kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”
Portal itu melaporkan, menurut afidavit Isham antaranya didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Satu laporan polis berhubung temu bual tersebut juga dibuat pada 6 Oktober 2023.
Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes berkenaan.
Menurut sumber, portal itu menambah permohonan secara ex-parte telah disebut di hadapan Hakim Sequerah pada Jumaat.
Hakim Sequerah juga membenarkan permohonan yang dikemukakan dan kes tersebut akan didengar oleh hakim lain pada tarikh yang ditetapkan.
#Isham Jalil #Peguam Negara #Anwar Ibrahim #kes 1MDB
;