Permohonan BYDPA tahun 2023 bermula 30 Januari hingga 3 Mac
Bernama
Februari 2, 2023 03:45 MYT
Februari 2, 2023 03:45 MYT
PUTRAJAYA: Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2023 telah dibuka kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan bagi mengikuti pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang atau Kewangan Islam di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pemohon perlu melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal https://esilav2.jpa.gov.my bermula 30 Jan 2023 hingga 3 Mac 2023.
Borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan yang berkaitan harus dihantar dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 10 Mac 2023 sama ada melalui serahan tangan atau pos.
"Permohonan yang memenuhi syarat serta melepasi saringan lanjut pihak JPA sahaja akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga," menurut kenyataan itu.
JPA menjelaskan syarat permohonan BYDPA Tahun 2023 adalah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Jan 2023.
Pemohon perlu mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Sarjana, manakala calon PhD perlu Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya.
Syarat lain termasuk pemohon telah mendapat tawaran tanpa syarat bagi pengajian secara sepenuh masa pada 2023 di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada 2023 di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA.
JPA memberitahu pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan, disertasi atau tesis.
Penglibatan secara aktif calon Sarjana dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya adalah satu kelebihan, manakala bagi calon PhD, penglibatan adalah wajib dan tiada penglibatan dianggap tidak memenuhi syarat dan tidak akan disenarai pendek untuk temu duga.
Menurut JPA, keutamaan akan diberikan kepada calon yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum atau aktiviti kemasyarakatan.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai penawaran biasiswa berkenaan, layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03-8885 3053/3571 pada setiap hari bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my.
-- BERNAMA
#Institusi Pengajian Tinggi
#Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong
#Sarjana Penyelidikan
#Doktor Falsafah PhD