Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman dibuka bermula hari ini

Bernama
Februari 7, 2024 05:30 MYT
Aaron berkata sejak 2007, YTAR telah menganugerahkan BTAR kepada lebih 400 pelajar yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di pelbagai universiti tempatan dengan anggaran peruntukan lebih RM50 juta. - Gambar fail BERNAMA
PUTRAJAYA: Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) akan dibuka bermula hari ini sehingga 8 April depan dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin atau sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau swasta merangkumi pelbagai bidang.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan semalam berkata biasiswa yang dibuka sempena ulang tahun Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ke-121 itu, berfungsi sebagai platform untuk membentuk pemimpin muda yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
"Biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang di Malaysia, terutama komuniti kurang berkemampuan.
"Selain penilaian dari aspek akademik dan kokurikulum, pelajar turut akan dinilai melalui ciri-ciri kepimpinan, keupayaan untuk mengatasi cabaran serta hasrat untuk menyumbang semula kepada negara," katanya.
BTAR menawarkan sembilan jenis elaun untuk meringankan beban pelajar dalam menjalani pengajian termasuk tajaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun pembangunan diri, elaun buku, elaun alat tulis, elaun komputer riba, elaun tesis, elaun pakaian rasmi dan elaun tiket penerbangan.
Selain itu, BTAR turut menawarkan program pembangunan kepimpinan selama dua tahun.
Para pelajar yang berminat untuk memohon BTAR boleh melayari laman web Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) di www.yayasantar.org.my.
Aaron dalam pada itu berkata sejak 2007, YTAR, yang ditubuhkan pada 1966 di bawah Akta Parlimen dengan objektif awal untuk menyokong belia melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi, telah menganugerahkan BTAR kepada lebih 400 pelajar yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di pelbagai universiti tempatan awam dan swasta dengan anggaran peruntukan lebih RM50 juta.
Beliau berharap YTAR akan terus meningkatkan akses pendidikan tinggi terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik rentas agama dan bangsa di samping mengetengahkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan belia.
-- BERNAMA
#Biasiswa Tunku Abdul Rahman #Aaron Ago Dagang #BTAR #Yayasan Tunku Abdul Rahman
;