Permohonan Anwar tangguh pelaksanaan MKN ditetapkan 14 Oktober
Bernama
September 5, 2016 20:04 MYT
September 5, 2016 20:04 MYT
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar hujahan lanjut bagi permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perintah injuksi sementara bagi menangguhkan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan Anwar.
Amarjeet mewakili kerajaan Malaysia dan MKN.
Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam N. Surendran dan Latheefa Koya yang bertindak bagi pihak Anwar.
"Permohonan itu mempersoalkan kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang dan budi bicara untuk mendengar permohonan berkenaan adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan," kata Amarjeet kepada pemberita di sini.
Beliau berkata mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan hujahan bertulis bagi permohonan berkenaan.
Pada 2 Ogos lalu, Anwar, bekas ketua pembangkang, memfailkan saman untuk menangguhkan pelaksanaan akta itu atas alasan ia adalah tidak berperlembagaan.
Beliau memfailkan saman itu melalui peguamnya Surendran, R. Sivarasa dan Latheefa Koya dengan menamakan kerajaan dan MKN sebagai responden dalam saman pemula yang difailkan di pejabat pendaftar sivil Mahkamah Tinggi.