Permit tidak diperlukan untuk perhimpunan awam - Majlis Peguam
Teoh El Sen
Mei 13, 2013 07:15 MYT
Mei 13, 2013 07:15 MYT
Permit untuk perhimpunan awam tidak lagi diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA), jelas Majlis Peguam hari ini.
Presidennya, Christopher Leong mengulas laporan memetik pegawai polis mengatakan bahawa perhimpunan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini adalah haram atas dasar bahawa tiada permit.
"Akta Perhimpunan Aman tidak memerlukan penganjur untuk membuat apa-apa permohonan kepada pihak polis untuk mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan.
“Tujuan keseluruhan Akta ini adalah untuk memastikan hak kebebasan berhimpun dan untuk menghapuskan keperluan untuk permit, " Leong memaklumkan Astro Awani.
Leong menjelaskan bahawa APA hanya memerlukan penganjur memberitahu polis tentang perhimpunan dengan satu notis supaya pihak polis boleh membuat perkiraan yang bersesuaian untuk memudahkan dan memastikan keselamatan untuk para peserta.
"Oleh itu, kekurangan notis atau kelewatan dalam memberi notis kepada polis perhimpunan tidak menjadikan perhimpunan tersebut haram.
Leong berkata, walaupun kekurangan notis, polis masih perlu menyediakan tenaga kerja dan logistik untuk memastikan keselamatan dan acara lancar.
"Jika polis mempunyai sebab-sebab yang baik untuk tidak mengizinkan perhimpunan, maka mereka boleh mendapatkan perintah mahkamah," katanya.
Walau bagaimanapun, Leong berkata, pihak polis mesti meyakinkan mahkamah bahawa terdapat sebab yang baik untuk menafikan orang ramai atau pihak penganjur hak mereka untuk kebebasan berhimpun.
"Sebagai contoh, bahawa terdapat bukti isu-isu keselamatan atau risiko yang pihak polis tidak dapat menangani."
"Perlu diingat bahawa teras atau objektif Akta ini adalah untuk membenarkan perhimpunan, dan polis perlu bertindak untuk memudahkan ia."
Keperluan permit dalam perhimpunan awam di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967, telah dihapuskan selepas pengenalan APA tahun lepas.
Menyentuh mengenai tindakan polis yang menyiasat pemimpin-pemimpin Pakatan di bawah Akta Hasutan, Leong berkata bahawa undang-undang lain boleh digunakan.
"Ia adalah jelas bahawa kerajaan telah mengumumkan bahawa undang-undang hasutan adalah ketinggalan zaman dan ia akan dimansuhkan. Ia benar-benar tidak selaras dengan perbuatan polis sekarang. "akhiri beliau.
Ditanya pendirian Bar mengenai hak orang lain yang tidak berhimpun, Leong berkata: "Demokrasi tidak datang tanpa harga. Kesulitan dari segi kesesakan lalu lintas tidak mengalahkan hak berperlembagaan bersuara dan berhimpun. "
Pada 8 Mei, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dipetik sebagai berkata bahawa perhimpunan Kelana Jaya adalah haram kerana penganjur tidak memohon permit daripada pihak polis.
"Pihak penganjur perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Berarak tanpa permit yang bertujuan untuk membangkitkan kemarahan adalah salah mengikut undang-undang. "
Walau bagaimanapun, Bukit Aman kemudian menjelaskan bahawa Ismail telah salah dipetik oleh Bernama.
Laporan yang memetik Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi juga menyebut isu permit.