Permit The Edge digantung kerana penerbitannya ada motif tertentu - Wan Junaidi
Wan Syamsul Amly
Julai 24, 2015 20:38 MYT
Julai 24, 2015 20:38 MYT
Permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial digantung untuk tempoh tiga bulan kerana penerbitannya mempunyai motif-motif tertentu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Katanya, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana penerbitan untuk membuat penyebaran umum kepada masyarakat.
Namun tegas beliau, kerajaan tidak ada pilihan jika pihak penerbitan dilihat mempunyai motif-motif tertentu dalam sebarannya.
"Maka, kementerian ada kuasa untuk menggantung sementara.
"Kita sudah memberi peluang kepada pihak akhbar tetapi penjelasan tidak memuaskan hati kementerian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurutnya, pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengkaji semua laporan yang diterbitkan oleh akhbar The Edge sebelum membuat keputusan menggantung permit penerbitannya selama tiga bulan bermula Isnin ini.
The Edge dalam satu kenyataan berkata, KDN melalui satu surat telah menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.
Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.
Kay Tat turut berkata The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut.
Ini bukan kali pertama permit akhbar digantung oleh KDN, ketika Ops Lalang yang dilancarkan 27 Oktober 1987, dua akhbar harian, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan dibatalkan penerbitannya.
Lidah rasmi PAS, Harakah dan akhbar millik PKR, Suara Keadilan juga pernah mengalami nasib yang sama seperti The Edge.
Pada 1999, ketika era reformasi sedang memuncak, akhbar Harakah pernah dikurangkan penerbitannya dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.
Dua tahun lepas, Akhbar mingguan The Heat digantung serta-merta oleh KDN dipercayai disebabkan artikel muka hadapannya yang menyentuh perbelanjaan Perdana Menteri.