Permintaan tinggi ketum bukan sebab COVID-19

Sinar Harian
Ogos 12, 2021 08:51 MYT
Peminat tegar daun ketum atau minuman air ketum sudah lama wujud di negara ini. - Foto fail
ALOR SETAR: Daun ketum sentiasa mendapat permintaan yang tinggi sepanjang tahun dan bukan disebabkan mitos pandemik COVID-19.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebelum COVID-19 melanda, negara kita sudah berdepan dengan kes rampasan daun ketum dan tangkapan yang meningkat saban tahun.
Beliau berkata, ini kerana peminat tegar daun ketum atau minuman air ketum sudah lama wujud di negara ini.
“Peningkatan kes rampasan ketum adalah atas komitmen polis dalam membanteras aktiviti terbabit. Dakwaan kononnya ketum laris sekarang sebab mampu merawat COVID-19 adalah tidak benar.
“Ada sahaja sindiket yang cuba seludup ketum ke negara jiran kerana harga pasaran di sana lebih tinggi selain permintaannya yang berterusan. Ini termasuk penyeludupan dalam negara melalui lorong tikus mahupun secara jalan darat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kamarul Zaman berkata, harga ketum yang murah di negeri-negeri utara sekitar RM6 hingga RM10 sekilogram menyebabkan sindiket cuba menyeludup ke negara jiran untuk mengaut keuntungan berganda kerana harga pasaran di sana mencecah RM150 sekilogram.
“Ada pengusaha yang tanam tapi mereka upah orang lain petik kerana bimbang ditahan, ada juga yang terima bayaran tetapi sindiket diminta petik sendiri daun ketum itu.
“Penyeludupan antara negeri pun banyak berlaku mungkin disebabkan mereka gagal bolos ke sempadan dan tumpu pada pasaran tempatan,” katanya.
Menurutnya, penjualan daun ketum merupakan satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952, merangkumi kesalahan bagi mereka yang mengimport, memiliki, mengilang, menyimpan, mengangkut dan menggunakan air ketum sahaja, manakala mereka yang menanam pokok ketum tidak disabitkan kesalahan.
“Kelemahan perundangan ini mungkin menyebabkan penanaman ketum masih dilakukan secara terbuka terutama di kawasan luar bandar kerana mampu berikan hasil lumayan kepada mereka,” kata beliau.
Mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang berani menjual ketum secara terbuka di media sosial, Kamarul Zaman berkata, tindakan akan diambil di bawah Akta Racun sekiranya dikesan.
“Jika ada mana-mana individu jual di media sosial, siasatan akan dibuat dan tindakan akan diambil kerana ia merupakan satu kesalahan.
“Cubaan menawarkan ketum melalui e-dagang atau dalam talian mungkin merupakan modus operandi baharu, berbanding dibawa melalui jalan darat atau air, namun ia tetap salah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul Zaman berkata, bermula Januari hingga Julai tahun ini, Polis Kedah merekodkan sebanyak 276 kes dengan 348 tangkapan, berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 222 kes dan 317 tangkapan.
“Ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 24.3 peratus manakala tangkapan meningkat 9.8 peratus. Untuk tahun ini, sebanyak 38,741 kilogram ketum bernilai RM2.7 juta dirampas, berbanding tahun lalu sebanyak 12,194 kilogram.
“Malah rampasan air ketum juga meningkat, iaitu 9,426 liter pada tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 1,568 liter,” jelasnya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#COVID-19 #ketum #mitos #Kamarul Zaman Mamat #rampasan
;