Permintaan sayuran di Negeri Sembilan menurun, harga masih berpatutan

Bernama
Disember 23, 2024 18:20 MYT
S. Veerapan (dua, kanan) meninjau barangan yang dikawal pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), sempena sambutan Krismas 2024 pada Majlis Pelancaran peringkat Negeri Sembilan di Seremban 2 hari ini. -Bernama
SEREMBAN: Permintaan sayur di Negeri Sembilan menunjukkan penurunan meskipun harga ditawarkan di pasaran masih berpatutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.

Ringkasan AI
  • Permintaan sayur di Negeri Sembilan menurun walaupun harga masih berpatutan, mungkin kerana pengguna lebih berjimat.
  • Harga sayur di Negeri Sembilan masih terkawal walaupun terdapat kenaikan harga di negeri lain akibat cuaca tidak menentu.
  • Sembilan jenis barangan dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 untuk memastikan harga kekal berpatutan.

Beliau berkata meskipun terdapat laporan berkenaan kenaikan harga sayuran di beberapa negeri lain berikutan ketidaktentuan cuaca ketika ini, namun harga sayuran di negeri ini masih terkawal.
"Saya lihat pengguna lebih berjimat kali ini untuk beli sayuran, harga masih berpatutan tetapi permintaan itu kurang, setakat ini tiada aduan diterima tentang kenaikan harga sayur di sini," katanya kepada pemberita selepas tinjauan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krimas 2024 di Pasaraya AEON Seremban 2 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan menjangka harga sayur kembali turun dan stabil pada Mac ini apabila tamatnya Monsun Timur Laut (MTL).
Laporan itu menyatakan harga sayur meningkat ketika ini disebabkan keadaan cuaca tidak menentu.
Pada program hari ini, terdapat sembilan jenis barangan dikawal di bawah SHMMP iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, ubi kentang import (China), lobak merah, kubis bulat (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, cili merah, bawang merah besar import dan bawang kuning besar.
-- BERNAMA
#Negeri Sembilan #permintaan sayuran #musim perayaan #S Veerapan
;