Permintaan pemuda Palestin kepada rakyat Malaysia

Syafique Shuib
Julai 15, 2014 09:14 MYT
Hassan berkata Gaza kini tidak mempunyai apa-apa. -Sumber: YouTube/Hassan Radwan
Seorang rakyat Palestin yang dilahirkan di Malaysia menyeru agar rakyat Malaysia terus menghulurkan bantuan kepada mereka di Gaza yang kini berhadapan dengan serangan udara Israel.
Hassan Radwan memuat naik video berdurasi 53 saat di laman YouTube beliau. Ia turut dikongsi di Facebook page Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) yang kini mempunyai 2,738 Likes dan 3,308 Shares.
Bertutur dalam bahasa Melayu, Hassan berkongsi tentang situasi yang dihadapi orang-orang Gaza.
“Sekarang Gaza sedang menghadapi krisis. Gaza tidak boleh tahan dengan roket Israel. Harga mahal sangat. Tidak ada air, tidak ada makanan, tidak ada apa-apa.,” kata beliau.
Hassan turut memuji Malaysia yang membantu rakyat Palestin lebih baik dari negara-negara lain.
“Saya minta orang-orang Malaysia, saya minta kerajaan Malaysia, [untuk] tolong orang-orang Gaza.
Jangan lupa doakan kami,” kata beliau.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia sedia untuk menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam masa dua minggu.
Bantuan terbabit dapat disalurkan bergantung kepada kelulusan kerajaan Mesir untuk membuka pintu sempadan di Rafah.
"Malam tadi saya berhubung melalui telefon dengan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal untuk sampaikan rasa simpati yang amat sangat dari semua kaum di Malaysia yang terasa dengan penderitaan rakyat Palestin," kata Najib.
#bantuan kemanusiaan #Gaza #Palestin