Permintaan kelapa, santan meningkat menjelang Hari Raya

Bernama
Jun 1, 2019 10:39 MYT
Permintaan kelapa dan santan pada musim perayaan meningkat kepada 300 tan daripada 150 tan pada hari biasa.
Selain pengusaha kedai baju dan kuih raya sibuk menyiapkan tempahan menjelang Aidilfitri, tidak ketinggalan pengusaha kelapa yang bertungkus lumus memastikan bekalan bukan sahaja mencukupi pada bulan Ramadan malah menjelang musim perayaan.
Pengusaha KS Coconut Industri Sdn Bhd, Ridzuan Abdullah, 29 tahun, berkata permintaan kelapa dan santan akan meningkat terutamanya menjelang hari raya.
Beliau berkata untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, pihaknya tidak mempunyai masalah dari segi bekalan kerana ia mampu bertahan sehingga selepas hari raya.
"Dari segi bekalan untuk lepas raya tidak ada masalah sebab kita pun dah siapkan bekalan untuk lepas raya. Kebiasaannya treler yang menghantar kelapa ke kilang saya dalam lapan kali sebulan, tapi untuk bulan Ramadan dan menjelang raya ni kekerapan treler hantar bekalan dalam 16 kali sebulan.
"Esok (hari ini) kita ada dua treler yang akan sampai. Dari segi pengeluaran santan untuk musim raya meningkat sebanyak 20,000 kilogram (kg) manakala pertambahan kelapa pada hari perayaan ini mencecah lebih kurang dua kali ganda. Macam hari biasa lebih kurang 150 tan kelapa sebulan tapi pada musim perayaan ini jadi 300 tan," katanya kepada Bernama.
Ridzuan yang menjalankan perniagaan itu bersama rakan kongsi, Abu Mansor Abdullah, 35 tahun, berkata pihaknya mendapatkan bekalan kelapa dari Indonesia kerana bekalan kelapa tempatan banyak dimonopoli kaum Cina dan India.
Menurutnya, walaupun kelapa yang diimport dari Indonesia tidak sebaik kelapa tempatan, namun beliau berkata pihaknya akan memastikan kualiti yang terbaik untuk kelapa dan santan yang dijual kepada pembeli.
Beliau berkata satu treler membawa muatan kelapa kira-kira 28,000kg atau 27,000 biji akan dihantar ke kilangnya di Alma, Bukit Mertajam.
"Di kilang ini kita cuma proses untuk kopek tempurung untuk dapatkan isi dan isi kita hantar ke Padang Serai, Kedah untuk kita proses jadikan santan. Santan yang kami hasilkan diberi nama Santan Nucifera. Sekali penghantaran isi kelapa ke Padang Serai dalam tiga ke empat tan," katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak tahun 2002.
Beliau berkata kesemua santan yang dihasilkan akan dihantar ke pasar raya Econsave wilayah utara, kedai-kedai runcit, restoran dan hotel di Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University Health and Science di Kuala Lumpur itu berkata selain itu, pihaknya turut menjual kelapa pada harga antara RM1.50 dan RM1.70 kepada pengusaha kedai runcit yang membeli kelapa terus dari kilangnya.
"Kita bungkus siap-siap dalam satu guni 50 biji dan kita hantar kepada kedai-kedai runcit yang membuat tempahan," katanya.
Selain itu, menurutnya beliau juga membuka sebuah kedai, 'Pushers Santan', di Farlim, Air Itam di bahagian pulau yang menjual santan, kerisik dan kelapa parut.
Ditanya mengapa memilih nama Pushers Santan, Ridzuan berkata beliau mahu membuat kelainan dan menarik lebih ramai pelanggan.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #kelapa #permintaan #Ridzuan Abdullah #santan
;